
Beliau berkata, orang Melayu juga melihat kepada tadbir urus, termasuk pengurusan ekonomi yang berkesan, integriti pentadbiran dan dasar yang memberikan kesan langsung terhadap kehidupan seharian rakyat.

“Ia lebih berkisarkan tentang realiti kehidupan seharian berbanding retorik nasionalis. Kestabilan politik telah menjadi suatu keutamaan.
“Para pengundi semakin lesu akibat konflik dalaman parti, isu lompat parti, dan kekerapan pertukaran kerajaan,” kata pengarah eksekutif Ilham Centre itu kepada FMT.
Hisomuddin berkata, pengundi mahukan pentadbiran yang stabil, hala tuju dasar yang konsisten, keupayaan mengekalkan keyakinan pelabur dan jaminan kemakmuran jangka panjang.
Parti politik zaman sekarang, katanya, bukan lagi dinilai atas dasar perjuangan lampau atau landasan kaum semata-mata, sebaliknya betapa meyakinkan tawaran realistik masa depan yang progresif dan inklusif.
Beliau berkata demikian susulan pelancaran pakatan perpaduan Melayu baharu oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, yang diwujudkan sebagai satu perikatan longgar untuk menghimpunkan kuasa-kuasa politik Melayu yang berpecah-belah di bawah satu ‘payung besar’.
Hisomuddin berkata, pakatan itu terbentuk sebagai reaksi terhadap landskap selepas PRU15, dengan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional dilihat kekurangan majoriti sokongan orang Melayu.
“Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) muncul sebagai blok paling dominan dalam kalangan pengundi Melayu, walaupun dalam pertembungan pelbagai penjuru dengan parti-parti Melayu seperti Pejuang,” katanya.
Hisomuddin berkata, pakatan itu dijangka mampu memperoleh lebih banyak undi Melayu berbanding PN pada PRU15 – hampir 70% undi Melayu – tetapi hanya jika ia berjaya menyatukan semua kumpulan serpihan.
Bukan sekadar perpaduan hendak dibuktikan
Bagaimanapun, Hisomuddin berkata, PRK baru-baru ini menunjukkan realiti berbeza, apabila BN menang selesa di Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning, hasil undi daripada penyokong PH, termasuk golongan bukan Melayu.
“Walaupun Umno belum pulih sepenuhnya pengaruhnya dalam kalangan pengundi Melayu, kerjasama strategiknya dengan PH membolehkan parti itu terus bertahan, memenangi kerusi melalui mobilisasi undi secara bersama,” katanya.
Hisomuddin berkata, pakatan Melayu itu perlu membuktikan lebih daripada sekadar keupayaannya untuk bersatu, dan ia berdepan cabaran yang jauh lebih besar daripada hanya menghimpunkan entiti-entiti Melayu yang berpecah-belah.

“Ia mesti menunjukkan bahawa ia mampu mengganggu corak sokongan pengundi semasa, yang diwujudkan oleh pakatan PH-BN,” katanya.
Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, pakatan itu tiada matlamat jelas, malah masih belum menjelaskan tujuannya.
“Saya tidak tahu sama ada (pakatan itu) akan berkesan, kerana saya tidak tahu bagaimana atau apa yang harus diukur. Apa yang mereka rancangkan? Apa yang mereka mahu ubah?” soalnya.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara turut menjangkakan pakatan itu sukar membina momentum kerana tidak seperti zaman kerajaan PH sebelum ini, tiada isu pendorong menyatukan parti-parti berasaskan Melayu.
“Pada masa itu, Statut Rom menjadi faktor utama, tetapi kini tidak lagi. (Sekarang) tiada isu. Umno cukup selesa dalam kerajaan,” katanya kepada FMT.