
Pegawai operasinya, Nazri Nawi, berkata bas dinaiki itu sudah diselenggara bulan lalu dan tidak mempunyai sebarang masalah.
Katanya, pemandu bas berkenaan yang dipinjam daripada syarikat lain itu juga seorang yang berhemah dan sudah arif laluan antara Gerik dan Jeli.
“Apa yang berlaku amat menyedihkan, saya tidak sedih bas rosak, sebaliknya paling terkesan apabila penuntut UPSI yang menaiki bas kami meninggal dunia dan cedera dalam kejadian itu.
“Namun, apa yang boleh saya katakan bas kami dalam keadaan baik dan sentiasa membuat penyelenggaraan mengikut waktu ditetapkan. Bas itu dibeli sejak 2013 dan masih mempunyai tempoh lima tahun untuk dijadikan bas persiaran.
“Saya juga dimaklumkan pemandu bas yang dipinjam itu seorang yang berhemah dan tiada rekod. Dia sudah biasa dengan laluan di sana,” katanya kepada Berita Harian.
Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan sangat terkesan dengan apa yang berlaku.
Terdahulu, seramai 15 pelajar Upsi maut, manakala tujuh parah selepas bas dinaiki dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit nahas lalu terbalik di Jalan Jeli – Grik berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi tadi.
Hari ini, Ketua Polis Perak, Noor Hisam Nordin, dalam sidang media berkata fokus siasatan nahas tertumpu kemungkinan kecuaian manusia atau kegagalan teknikal kenderaan.
Menurutnya, dakwaan mengatakan bas berkenaan dipandu laju juga buat masa ini hanya dianggap spekulasi kerana belum mempunyai saksi.