Mohon guna LPG subsidi, KPDN libat urus sektor dobi

Mohon guna LPG subsidi, KPDN libat urus sektor dobi

Menteri Armizan Mohd Ali berkata sebarang pertimbangan perlu ambil kira pelbagai faktor dan tidak boleh dilaksanakan tanpa mekanisme pemantauan.

KPDN sedang melaksanakan sesi libat urus dengan pengusaha dobi memandangkan mesin pengering amat bergantung kepada LPG.
PETALING JAYA:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang melaksanakan sesi libat urus susulan permintaan pengusaha dobi ingin terus menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.

Menteri Armizan Mohd Ali, berkata pihaknya mengambil maklum kebimbangan tersebut, namun sebarang pertimbangan perlu mengambil kira pelbagai faktor.

“Misalnya keperluan untuk dilaksana secara bersasar, dan bukannya secara pukal dan tanpa mekanisme pemantauan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepada Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe yang membangkitkan ‘suara’ pengusaha kedai dobi ketika sesi perbincangan.

Pada 6 Jun, Persatuan Pengusaha Dobi Melayu (MULA) menggesa kerajaan turut mengambil kira sektor berkenaan dalam kebenaran penggunaan tong gas LPG bersubsidi, selepas ia diberikan kepada peniaga kecil dan sederhana makanan serta minuman.

Katanya, sektor dobi khususnya dobi layan diri dan dobi tradisional yang menggunakan mesin pengering amat bergantung kepada LPG.

Menurut persatuan itu, sektor dobi juga berada pada kategori peniaga kecil dan sederhana (PKS), selaras dengan garis panduan SME Corporation dan definisi PKS yang diluluskan Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK).

Sebelum ini, Armizan memaklumkan peniaga mikro dan kecil dalam sektor makanan serta minuman dibenarkan terus menggunakan tong gas LPG bersubsidi tanpa perlu memiliki permit khas sehingga pindaan baharu Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 2021 dimuktamadkan Oktober ini.

Tong LPG komersial 14kg berharga hampir RM70, hampir tiga kali ganda berbanding harga tong LPG bersubsidi.

Ketika ini, mana-mana perniagaan yang menggunakan lebih 42kg LPG pada satu-satu masa perlu memohon permit barang kawalan berjadual.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.