
Rafizi berkata, beliau menerima banyak aduan daripada orang awam yang mendakwa mereka dikenakan pelbagai tindakan oleh SKMM selepas memuat naik komen mengenai pemilihan PKR di media sosial.
Katanya, ada antara mereka dimaklumkan kandungan yang dimuat naik melanggar undang-undang, malah ada yang didatangi oleh pegawai SKMM dan polis.
Ada pengguna media sosial turut dimaklumkan secara rasmi bahawa mereka sedang disiasat dan telefon pintar serta kad SIM mereka dirampas, tambahnya.
Rafizi yang tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan bulan lepas mendakwa, kebanyakan kandungan yang disiasat hanyalah pandangan peribadi rakyat biasa mengenai pemilihan parti dan tidak melanggar sebarang undang-undang.
“Setelah saya meneliti aduan-aduan ini, saya berpendapat kaedah ini hanyalah satu bentuk intimidasi untuk menekan orang awam agar tidak lagi buat kandungan mengenai perjalanan dan keputusan pemilihan PKR .
“Saya percaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tidak memberikan arahan agar orang awam seperti ini dikenakan tindakan,” katanya dalam kenyataan.
“Kemungkinannya, ada watak-watak tertentu yang berselindung di belakang nama-nama menteri mereka, yang memberi arahan kepada SKMM atau polis untuk menekan orang awam, hanya kerana pandangan mereka mengenai pemilihan PKR tidak sealiran dengan pandangan watak-watak ini.”
Rafizi turut menggesa pihak berkuasa agar menghentikan tindakan serta-merta,
Katanya, beberapa peguam telah menawarkan diri untuk membantu pengguna media sosial terbabit secara pro bono untuk mencabar tindakan pihak berkuasa.
Setelah kalah kepada Nurul Izzah Anwar dalam persaingan jawatan timbalan presiden PKR bulan lepas, Rafizi meletak jawatan sebagai menteri ekonomi, berkuat kuasa 17 Jun.