
“Pilihlah cara pertembungan yang sesuai … ada masa ‘kestabilan’ itu jauh lebih penting dari mahu dilihat menjadi ‘jaguh’ dalam setiap pertembungan,” kata bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu dalam catatan di Facebook.
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan pakatan bagi menghadapi PRN, manakala rundingan dikatakan sedang berjalan untuk turut menarik Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Bagaimanapun, minggu lepas, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, cawangan negeri itu tidak akan bekerjasama dengan GRS pada PRN.
Tambahnya, sebarang kemungkinan kerjasama hanya akan dipertimbangkan selepas PRN.
Pengerusi GRS Hajiji Noor yang juga ketua menteri Sabah berkata, gabungan kerajaan negeri masih belum memuktamadkan pakatan pilihan raya.
Bulan lepas, Hajiji berkata, kerjasama sedia ada antara GRS dan PH, yang membentuk kerajaan negeri, harus diteruskan pada PRN akan datang.
Sejak beberapa tahun lepas, Bung dan Abdul Rahman sering bertelingkah, dengan Rahman dikatakan cenderung menjalin semula hubungan antara Umno Sabah dengan GRS.
Meskipun Umno Sabah dan GRS pernah menjadi sekutu dalam kerajaan negeri, Bung memimpin partinya menarik balik sokongan terhadap Hajiji sebagai ketua menteri pada Januari 2023. Susulan itu, PH Sabah memberikan sokongan kepada Hajiji bagi membolehkan beliau kekal memegang jawatan itu.