Jangan perjudi nyawa guna barang tanpa label ST-SIRIM

Jangan perjudi nyawa guna barang tanpa label ST-SIRIM

Renjatan elektrik, litar pintas dan kebakaran akibat pemanasan berlebihan antara risiko apabila guna produk tidak penuhi piawaian keselamatan.

Kedai Barangan elektronik eletrik
Orang ramai perlu memastikan peralatan elektrik yang dibeli mempunyai label keselamatan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM). (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pengguna dinasihati tidak memperjudikan keselamatan sendiri dan orang tersayang dengan peralatan elektrik tidak disahkan selamat oleh pihak berkuasa.

Renjatan elektrik, litar pintas dan kebakaran akibat pemanasan berlebihan antara risiko apabila menggunakan peralatan elektrik tanpa label ST-SIRIM– tanda menunjukkan produk berkenaan lulus ujian dan memenuhi piawaian keselamatan.

Label itu dikeluarkan oleh SIRIM QAS International, anak syarikat Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga (ST).

Ia memberi jaminan kepada pengguna tentang keselamatan dan kebolehpercayaan produk.

“Bila kita sebut berkenaan tanpa logo, maksudnya peralatan elektrik itu tidak ada pengesahan dari segi keselamatan,” kata Muhamad Iskandar Shah Bachek, ketua seksyen elektrikal dan elektronik II di Jabatan Perkhidmatan Pengujian SIRIM QAS International.

Beliau merujuk perbezaan penggunaan voltan bagi barangan tertentu, memandangkan Malaysia menetapkan kadar 230V.

Muhamad Iskandar Shah Bachek
Muhamad Iskandar Shah Bachek.

“Kalau produk itu direka untuk kegunaan 100V tapi digunakan di Malaysia, ia akan mendatangkan risiko bahaya kepada pengguna,” kata Iskandar.

Jelasnya, label ST-SIRIM pada produk menandakan ia lebih selamat kerana voltan tidak bersesuaian boleh merosakkan peralatan.

“Selain membawa kepada kesan lebih buruk seperti mendatangkan maut,” katanya.

Pada 31 Okt 2022, media melaporkan 570 kes maut membabitkan 1,140 kemalangan elektrik direkodkan sejak 2002.

Pada tahun tersebut sehingga 22 Okt sahaja, 49 kes dicatatkan membabitkan 25 kematian, lapor Utusan Malaysia yang memetik Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST ketika itu, Mohd Elmi Anas.

Beliau berkata, banyak kemalangan berlaku disebabkan barangan tidak mengikut standard, dengan ada yang menggunakan peralatan tidak diluluskan.

Mutakhir ini, peralatan elektrik murah boleh didapati dengan mudah di kedai dan platform dalam talian. Hakikatnya tidak semua barangan itu mempunyai label ST-SIRIM.

Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 serta Peraturan-peraturan Elektrik 1994 menyatakan peralatan elektrik perlu memohon kelulusan ST, dan dari Januari hingga Julai tahun lepas, sebanyak 1,200 peralatan elektrik tanpa logo ST-SIRIM dirampas serta dilupuskan susulan aktiviti penguatkuasaan oleh ST.

Perbualan dengan seorang peniaga barangan elektrik di sebuah gudang di Bandar Bukit Raja, Klang mendedahkan ada kalangan peniaga mengambil ringan keselamatan pengguna.

“Barang ini memang tak ada logo SIRIM, tapi boleh pakai. Ramai dah beli,” katanya sambil menerangkan kegunaan sebuah periuk elektrik yang didakwanya boleh bertahan sehingga tiga bulan, jika dijaga dengan baik.

Bagi segelintir pengguna pula, label ST-SIRIM mungkin bukan antara perkara diperhatikan sebelum menempah sesuatu barangan.

“Bila barang dah sampai, baru saya sedar tiada logo SIRIM dan sepanjang saya guna pun memang tak tahan lama,” kata seorang pengguna hanya mahu dikenali Aira.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.