Gangguan suis punca kelewatan di laluan LRT Kelana Jaya

Gangguan suis punca kelewatan di laluan LRT Kelana Jaya

Tren dari Pasar Seni ke Bangsar di laluan menghala ke Putra Heights dipandu secara manual menyebabkan kelewatan diantara dua stesen.

Seorang pengguna memuat naik video di X menunjukkan penumpang berbaris panjang di sebuah stesen LRT dengan dipantau anggota polis bantuan.
PETALING JAYA:
Gangguan pada suis landasan di laluan LRT Kelana Jaya menyebabkan kelewatan perkhidmatan antara Stesen Pasar Seni, Bank Rakyat dan Bangsar menghala ke Putra Heights.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata gangguan itu dilaporkan berlaku pada 5.30 pagi tadi.

“Sebagai langkah keselamatan, tren dari Stesen Pasar Seni ke Stesen Bangsar menghala ke Putra Heights dipandu secara manual, menyebabkan pergerakan tren menjadi lebih perlahan di antara dua stesen tersebut.

“Pasukan kejuruteraan Rapid Rail kini berada di lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih untuk mengembalikan operasi normal secepat mungkin,” kata kenyataan itu.

Katanya, bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen ditempatkan di platform dan ruang legar stesen untuk membantu penumpang. Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen.

“Penumpang dinasihatkan untuk merujuk pada laman media sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini.

“Rapid Rail memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama daripada semua pengguna,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna memuat naik video di X menunjukkan penumpang berbaris panjang di sebuah stesen LRT dengan dipantau anggota polis bantuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.