Tragedi bot terbalik: Mayat suami isteri ditemui

Tragedi bot terbalik: Mayat suami isteri ditemui

Mayat dua warga tempatan itu dijumpai terapung kira-kira 0.1 batu nautika dari Pelabuhan Utara pagi ini.

Bot dinaiki enam penumpang yang terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, Jumaat lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suami isteri yang dilaporkan hilang dalam tragedi bot terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, ditemui lemas hari ini.

Pegawai Operasi Unit Penguatkuasaan dan Eksais Agensi Penguatkuasaan Maritim Selangor, Mohd Syafiq Sazali, berkata mayat dua warga tempatan itu dijumpai terapung kira-kira 0.1 batu nautika dari Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 7.42 pagi tadi.

“Mayat berjaya kita ‘recover’ menggunakan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta dibawa ke jeti Maritim Selangor.

“Kedua-duanya dijumpai berasingan pada jarak 200m (antara satu sama lain),” katanya menurut Harian Metro.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang Jumaat lalu, tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut, manakala Gan Hon Tat, 32, dan isterinya Careen Man, 29, dilaporkan hilang.

Anak pasangan itu yang berusia 3 tahun, Darren Gan bersama rakan mereka, Cheu Son Hin, 50, dan Fong Yong Sen, 29, ditemui lemas.

Alvin Chang Yan Qin, 17, satu-satunya mangsa terselamat dalam kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.