Pulau Pinang akan perluas diskaun perumahan 5% India Muslim

Pulau Pinang akan perluas diskaun perumahan 5% India Muslim

Ketua menteri Chow Kon Yeow berkata ini akan menjadikan dasar itu selaras dengan prinsip keadilan sosial.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata exco kerajaan negeri akan membuat keputusan yang ‘memenuhi kepentingan semua pihak’.
PETALING JAYA:
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri sedang mencari jalan untuk memperluaskan diskaun perumahan 5% yang diumumkan untuk komuniti India Muslim baru-baru ini, kepada semua masyarakat.

Chow berkata beliau telah menerima maklum balas bahawa diskaun itu perlu ditawarkan kepada semua pembeli rumah dengan tujuan menggiatkan semula sektor hartanah, khususnya berkaitan unit yang tidak terjual.

“Sebagai maklum balas, saya telah mengarahkan exco negeri bagi perumahan dan persekitaran S Sundarajoo untuk bekerjasama dengan pemaju bagi memperhalusi dasar dengan tujuan untuk memberikan diskaun kepada semua pembeli,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini akan menjadikan inisiatif terbabit lebih inklusif dan bermanfaat kepada semua segmen masyarakat, selaras dengan prinsip keadilan sosial.”

Beliau berkata exco kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara itu secara terperinci dan membuat keputusan yang ‘memenuhi kepentingan semua pihak’.

Diskaun itu diumumkan pada Khamis oleh Sundarajoo, yang berkata pemaju swasta akan digalakkan untuk menawarkan diskaun 5% secara sukarela kepada pembeli rumah pertama India Muslim selama setahun sebagai sebahagian daripada kempen perumahan negeri.

Inisiatif itu dikritik oleh peguam hak asasi manusia Rajesh Nagarajan, yang menggelar kempen itu sebagai diskriminasi dan tidak berperlembagaan.

Sundarajoo mempertahankan diskaun itu, berkata ia tidak melanggar hak masyarakat lain dan semata-mata bertujuan untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan kumpulan dengan penyertaan rendah dalam pasaran terbuka.

Beliau juga berkata pemaju akan menawarkan diskaun itu sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial korporat dan ia tidak akan melibatkan dana kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.