Peserta PLKN 3.0 tak daftar, kementerian kenal pasti alasan kesihatan, komitmen kerja

Peserta PLKN 3.0 tak daftar, kementerian kenal pasti alasan kesihatan, komitmen kerja

Kementerian Pertahanan akan buat penilaian menyeluruh sebelum guna peruntukan undang-undang, kata timbalan menteri.

Di bawah Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628), peserta PLKN yang gagal mendaftar dalam tempoh ditetapkan boleh dirujuk kepada Bahagian Undang-Undang. (Gambar Bernama)
JELI:
Kementerian Pertahanan sedang mengenal pasti punca kegagalan 206 peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 mendaftar diri pada Mei lepas, sama ada disebabkan faktor kesihatan atau komitmen pekerjaan.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, peserta yang terlibat terikat dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003.

“Kita akan buat penilaian secara menyeluruh, termasuk meneliti alasan membabitkan aspek kesihatan dan penglibatan peserta dalam pekerjaan,” katanya selepas menghadiri Program Veteran Desa Madani Jajahan Jeli di SK Sungai Rual.

“Kita mahu tahu punca sebenar kegagalan (mereka) mendaftar kerana kaedah yang digunakan bukan hanya dengan memberi makluman, tetapi kita turut berhubung secara langsung dengan mereka yang terlibat.”

Adly berkata, pihaknya sedang menunggu laporan daripada jawatankuasa PLKN termasuk pembentangan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) berkaitan alasan dan senarai nama peserta terlibat.

Menurutnya, meskipun terdapat peruntukan undang-undang yang boleh digunakan terhadap mereka, kementerian tetap akan menilai secara keseluruhan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Jika tiada pilihan lain, barulah kita menggunakan peruntukan undang-undang untuk mendisiplinkan mereka,” katanya.

Di bawah Seksyen 18(1), Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628), peserta yang gagal mendaftar dalam tempoh ditetapkan boleh dirujuk kepada Bahagian Undang-Undang.

Sementara itu, mengenai penglibatan Orang Asli dalam tentera, khususnya sebagai askar wataniah, Adly berkata, penyertaan mereka masih rendah.

Justeru, pihaknya akan memperluas pelaksanaan program kesedaran di perkampungan Orang Asli, yang sebelum ini tertumpu di Perak, dan seterusnya ke Kelantan khususnya di kawasan Gua Musang dan Jeli.

“Walaupun tiada angka sasaran ditetapkan, kita yakin jumlah penyertaan akan meningkat menjelang akhir tahun ini sekiranya program kesedaran terus dilaksanakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.