Lelaki maut kena renjatan elektrik ketika petik mangga

Lelaki maut kena renjatan elektrik ketika petik mangga

Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas pokok akibat terkena renjatan elektrik.

renjatan elektrik
Beberapa anggota bomba menurunkan mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik ketika cuba memetik buah mangga dalam kejadian di Papar, petang tadi.

Difahamkan mangsa dikenali sebagai Ahajah Abdul Musa, 42, menggunakan galah besi untuk menjolok buah di hujung dahan pokok sebelum ia terkena kabel elektrik berhampiran, lapor Berita Harian.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman, berkata mereka menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 3.01 petang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas pokok mangga, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.

“Pasukan bomba kemudian menurunkan mangsa dari atas pokok dengan menggunakan tangga serta tali penyelamat, selepas bekalan elektrik diputuskan oleh Sabah Electricity.

“Namun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.29 petang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.