
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor itu berkata, setiap calon perlu melalui saringan teliti pejabat daerah sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri.
“Senarai nama itu juga akan dinilai semula mengikut markah merit serta semakan latar belakang komuniti setempat. Tidak timbul isu ia dibuat atas permintaan ketua bahagian atau exco.
“Kita menilai secara muhibah dan munasabah, termasuk perkhidmatan dan pengalaman dimiliki calon, serta memastikan ia bukan demi kepentingan peribadi. Ketua kampung untuk komuniti setempat,” kata menurut Harian Metro selepas menghadiri Program Ibadah Korban Perdana Dewan Undangan Negeri Larkin di Johor Bahru.
Sebelum ini, Naib Ketua PKR Johor Bahru, Gerald Tang Mun Hon dilaporkan kecewa dan membantah senarai pelantikan ketua masyarakat Cina dan kampung baru bagi penggal 2025-2027 kerana tidak membabitkan wakil Pakatan Harapan (PH).
Beliau menggesa kerajaan negeri serta pihak berkuasa berkaitan meneliti semula pelantikan itu bagi memastikan perwakilan adil dan sejajar semangat kerajaan campuran.
Hairi berkata, perkara itu tidak wajar dibangkitkan kerana boleh menjejaskan kerjasama antara parti dalam kerajaan perpaduan.
“(Berhubung dakwaan lantikan hanya membabitkan wakil MCA), kerajaan Johor ditubuhkan sebelum PRU serta pembentukan kerajaan perpaduan. Maka, isu ini tidak sepatutnya timbul.
“DAP juga memahami perkara ini, walaupun mereka memiliki lebih banyak kerusi berbanding PKR dan Amanah. Sebaliknya, semua pihak perlu menjernihkan hubungan kerjasama supaya tidak dimanipulasi pihak tertentu,” kata naib ketua Pemuda Umno itu.