Dr M ambil kesempatan persepsi ‘Melayu tersisih’, kata veteran Umno

Dr M ambil kesempatan persepsi ‘Melayu tersisih’, kata veteran Umno

Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bagaimanapun berkata gerakan menyatukan Melayu melalui NGO tidak dapat dielak kerana persepsi itu berakar di peringkat bawah.

RAJA NONG CHIK RAJA ZAINAL ABIDIN
Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata ramai orang Melayu di peringkat akar umbi rasa tersisih dan Dr Mahathir Mohamad sedang mengeksploitasinya.
PETALING JAYA:
Seorang bekas menteri Umno menyifatkan tindakan Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Sekretariat Orang Melayu hanya untuk mengambil kesempatan terhadap persepsi ‘Melayu tersisih’ di bawah kerajaan Madani.

Bekas menteri wilayah persekutuan, Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin bagaimanapun berkata gerakan untuk menyatukan Melayu melalui platform NGO tidak boleh dielakkan kerana persepsi itu sedang berakar di peringkat bawahan.

“Kita tak boleh ‘avoid’ gerakan sebegini untuk satukan Melayu, kerana apa jua alasan bila anda pergi ke akar umbi, ramai orang Melayu rasa tersisih dan Mahathir sedang eksploitasi perkara itu.

“Mungkin itu persepsi atau imaginasi (bagi segelintir pihak) tetapi ia sememangnya wujud (akar umbi) dan sesuatu perlu dilakukan untuk dapatkan semula keyakinan orang Melayu,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas usaha terbaharu bekas perdana menteri itu menubuhkan Sekretariat Orang Melayu sebagai ‘payung besar’ untuk ‘menyelamatkan masa depan orang Melayu’ dari segi politik dan ekonomi.

Disertai parti pembangkang seperti Bersatu dan PAS, Mahathir turut mengajak ahli Umno menyertai gabungan terbaharunya itu dalam usaha ‘mengembalikan kuasa Melayu’ dalam kerajaan.

Penubuhan itu usaha terbaharu Mahathir menyatukan orang Melayu. Sebelum ini beliau melancarkan Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pejuang.

GTA ditubuhkan pada 2022 sebelum PRU15, namun terkubur setahun selepas itu apabila Mahathir selaku pengerusi mengakui gerakan terbabit sudah tidak berfungsi.

Nong Chik yang juga bekas ketua Umno Lembah Pantai mendakwa, maklum balas diterimanya menunjukkan 9/10 orang Melayu terdiri daripada rakan rapatnya meluahkan kerisauan terhadap nasib komuniti itu di bawah pentadbiran semasa.

“Mereka risau tentang masa depan Melayu, ini rakan yang berpelajaran tinggi, belum lagi di peringkat akar umbi.

“Namun ini tak bermakna mereka akan undi pihak sebelah sana (parti pembangkang), cuma Melayu sekarang nakkan jaminan (hak istimewa mereka terjamin),” katanya.

Beliau berkata kerajaan Anwar Ibrahim perlu bijak tangani isu ini untuk mengelakkan orang Melayu hilang kepercayaan terhadap keupayaan kerajaan perpaduan.

“Perlunya suatu usaha untuk satukan Melayu dan ia mungkin boleh dilakukan di bawah pentadbiran Anwar, jika tidak keseimbangan kuasa itu dilihat tidak kena, dan rakyat (orang Melayu) akan terus rasa tersisih.

“Jadi, bagaimana kerajaan perpaduan sekarang nak tangani perkara-perkara ini dengan beri keyakinan kepada populasi orang Melayu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.