
Menurutnya, mangsa dipercayai melakukan uji pandu bot itu dari Royal Selangor Yacht Club, Kawasan 14, Pelabuhan Klang.
“Berdasarkan maklumat, (sebelum ini) bot dia (mangsa) rosak, apabila sudah dibaiki, dia hendak uji pandu di laut dengan membawa keluarga dan rakan.
“Jadi, petang semalam dia membawa keluarga dan rakan menaiki bot itu ke laut,” katanya menurut Harian Metro.
Gan Hon Tat, 32, bersama isterinya, Careen Man, 29, yang berasal dari Klang Utama masih hilang dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Selangor akan meneruskan operasi mencari dengan kerjasama agensi sahabat.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak tiga tahun antara tiga maut selepas bot dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Harapan kira-kira 4.30 petang semalam.
Abdul Muhaimin dilaporkan berkata, bot dinaiki enam warga tempatan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik kira-kira 0.3 batu nautika barat Tanjung Harapan.
Tiga mangsa maut ialah anak pasangan itu, Darren Gan, 3, yang ditemui di ruang depan bot bersama Cheu Son Hin, 50, serta seorang lagi rakan mereka, Fong Yong Sen, 29.
Mangsa selamat dikenali Alvin Chang Yan Qin, 17.