Seleweng dana sukuk: Tan Sri baru keluar hospital, SPRM akan rakam kenyataan

Seleweng dana sukuk: Tan Sri baru keluar hospital, SPRM akan rakam kenyataan

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, pegawainya akan membuat janji temu dengan tokoh korporat itu secepat mungkin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, selain Tan Sri terbabit, kenyataan saksi-saksi lain sedang dirakam bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana sukuk bagi pembinaan lebuh raya.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merakam kenyataan seorang tokoh korporat bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penyelewengan dana sukuk bagi pembinaan lebuh raya di Lembah Klang dalam masa terdekat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, tokoh korporat itu telah dibenarkan keluar hospital selepas selesai menjalani rawatan.

“Percakapan Tan Sri belum dapat dirakam, namun saya difahamkan beliau baru sahaja dibenarkan keluar daripada hospital.

“Pegawai SPRM akan berhubung dengan beliau secepat mungkin untuk buat janji temu,” katanya menambah, individu itu antara saksi utama dalam siasatan SPRM, lapor Astro Awani.

Menurut Azam, kenyataan saksi-saksi lain sedang dirakam untuk membantu siasatan.

Terdahulu, SPRM mendedahkan bahawa pihak terbabit dalam penyelewengan dana sukuk itu dipercayai menggunakan golongan profesional termasuk juruaudit, pakar kewangan dan jurutera, serta pelbagai syarikat sebagai penerima wang secara berlapis.

Azam sebelum ini berkata, pasukan siasatan sedang mengesan kenderaan mewah dan hartanah milik Tan Sri itu di dalam serta luar negara, termasuk di London dan Switzerland.

Siasatan turut tertumpu kepada nilai sebenar minuman keras mewah dalam simpanan Tan Sri itu, dengan kemungkinan wang berkaitan telah dipindahkan ke akaun lain, tambahnya.

Dilaporkan aset disita bagi siasatan kes setakat ini termasuk 14 akaun bank individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat (RM33 juta), kondominium mewah dan sebidang tanah (RM24.5 juta) serta sembilan kereta bernilai RM7.65 juta, selain 13 kereta yang belum diserahkan kepada pasukan siasatan.

Turut dirampas, jam tangan mewah bernilai RM25 juta, beg tangan (RM3 juta), barang kemas serta berlian (RM6 juta), empat ekor kuda (RM400,000), minuman keras mewah (RM3 juta), aset luar negara dianggarkan lebih RM15 juta serta aktiviti perjudian dipercayai mencecah RM20 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.