
Dalam kenyataan, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Ismail Mokhtar menegaskan pihak Imigresen tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau panduan seperti yang dinyatakan dalam kenyataan palsu bertarikh 5 Jun itu.
“Untuk makluman, kenyataan tersebut tidak benar dan tidak pernah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen,” katanya menambah, pihaknya memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan awam, lapor Bernama.
Dalam pada itu, Ismail mengingatkan bahawa penggunaan lambang rasmi dan nama jabatan tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang.
Selain menggunakan nama Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban, kenyataan itu turut menyebut hanya warga asing dengan permit kerja dan visa sah atau kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dibenarkan menerima daging korban di masjid.
Pengambilan daging oleh pendatang tanpa izin (Pati) akan dikenakan tindakan serta-merta, menurut kenyataan itu.