Desakan Hadi berundur bukan dari PAS, kata pimpinan negeri

Desakan Hadi berundur bukan dari PAS, kata pimpinan negeri

Pemuda PAS Johor berkata perkara itu tidak pernah dibangkitkan di peringkat pusat dan ia jelas usaha luar yang tidak senang dengan parti.

Tidak ada desakan dari PAS supaya Presidennya Abdul Hadi Awang berundur kerana parti masih memerlukannya untuk membawa kejayaan lebih besar pada PRU akan datang, kata pimpinan negeri.
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda PAS Johor Ahmad Nawfal Mahfodz menolak kemungkinan terdapat usaha dari dalam parti yang mendesak Abdul Hadi Awang melepaskan jawatan sebagai presiden PAS.

Katanya, beliau sendiri mengikuti mesyuarat tertinggi Badan Perhubungan PAS Johor dan isu pertukaran kepimpinan di peringkat pusat tidak pernah dibangkitkan.

“Jadi jelas usaha ini dari luar PAS, nampak ada yang tidak senang dengan prestasi baik PAS sekarang di bawah kepimpinan Hadi,” katanya kepada FMT.

Ahmad Nawfal Mahfodz.

Nawfal yang juga Ketua Pemuda PN Johor berkata demikian ketika mengulas kenyataan Anggota Dewan Ulama PAS Pusat Mokhtar Senik yang mendakwa terdapat desakan supaya Hadi melepaskan jawatan utama dalam parti.

Mokhtar berkata sekiranya desakan itu dari pihak luar, maka usaha itu dibuat bagi memastikan PAS lemah dan setaraf parti lain yang tidak dipimpin oleh ulama.

Manakala, jika desakan itu dari dalam bermakna ia datang dari kelompok ‘jebon 2.0’ yang ‘terliur’ dengan jawatan tersebut. Istilah itu digunakan untuk menggambarkan individu atau kumpulan yang dianggap sebagai pengkhianat atau pengacau dalam parti.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Terengganu, Hanafiah Mat, berkata parti itu masih memerlukan kepimpinan Hadi untuk terus memacu kejayaan politik PAS, sekali gus menolak dakwaan wujud desakan dari dalam supaya jawatan presiden dikosongkan.

Hanafiah Mat.

Katanya, sokongan terhadap Hadi kekal kukuh dari akar umbi hingga ke peringkat tertinggi parti dan beliau yakin kepimpinan Hadi mampu membawa PAS mencatat kejayaan lebih besar dalam PRU akan datang.

“Kalau PRU dulu kita berjaya capai lebih 40 Parlimen, saya yakin tok guru akan bawa lebih 70 kerusi Parlimen dan insya-Allah, kita akan perintah Malaysia dengan baik,” katanya.

Hanafiah yang juga Adun Cukai turut yakin ‘suara luar’ itu adalah daripada segelintir mereka yang tidak berpuas hati dengan PAS dan bukannya melibatkan kalangan ahli-ahli dan penyokong mereka.

“Walaupun kesihatannya (Hadi) tidak berapa baik, tetapi pemikirannya melampaui pemikiran manusia lain.

“Beliau mempunyai kecerdasan pemikiran, wawasan sangat tinggi, bukan sahaja wawasan peringkat dunia tapi akhirat juga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.