
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Rahim, berkata kejadian kira-kira 12 tengah malam itu membabitkan Perodua Bezza dan Toyota Alphard.
Beliau berkata, lima warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia 17 hingga 26 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian, dengan dua mangsa tersepit dan tiga lagi tercampak keluar dari Perodua Bezza.
“Mangsa yang menaiki Toyota Alphard terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati Toyota Alphard dalam perjalanan dari Pulau Tawar menuju Jerantut, manakala Perodua Bezza dalam perjalanan dari Bota di Perak menghala Jerantut.
Beliau berkata, tiga mangsa cedera dihantar ke hospital berhampiran dengan bantuan ambulans Angkatan Pertahanan Awam.
Ketua Polis Jerantut, Zukri Muhammad, berkata lima mangsa maut dalam nahas di KM7 Jalan Jerantut-Maran itu ialah pemandu kereta Mohamad Ikmal Ishak, 26, dan isterinya, Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23.
Turut terkorban ialah adik Nur Arfiqah, iaitu Mohammad Zulkifli, 21, Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani, 17, yang semuanya beralamat di Bota, Perak.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Toyota Alphard dalam perjalanan dari arah Maran menghala bandar Jerantut bertembung Perodua Bezza yang membuat pusingan U di persimpangan secara mengejut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.