
Hakim Arik Sanusi Yeop Johari berkata pemohon tidak menunjukkan sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri yang diterajui Perikatan Nasional yang menjejaskan mata pencarian mereka.
Sebaliknya, kata hakim, mereka hanya bergantung kepada laporan berita bercetak dan atas talian mengenai dakwaan keengganan kerajaan negeri untuk mengeluarkan lesen premis perniagaan kepada pengendali loteri.
“Pemohon hanya merujuk laporan berita bercetak dan atas talian (berkaitan keputusan tersebut).
“Laporan berita ini tidak boleh dianggap sebagai ‘keputusan rasmi’ kerajaan negeri, dan oleh itu permohonan ini dianggap remeh,” kata Arik dalam penghakiman yang dikeluarkan minggu lalu.
Penghakiman itu menjelaskan alasan di sebalik keputusan yang dibuat beliau tahun lalu.
Pemohon, STM Lottery Sdn Bhd, Leong Jenn Kiang, Chin Soo Shian, C Santha, dan Yip Kok Chyun kini merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
Mereka memohon untuk membatalkan keputusan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang enggan memperbaharui lesen premis perniagaan mereka, yang menyebabkan mereka tidak dapat menjalankan operasi perniagaan loteri.
Mereka berhujah bahawa hal ehwal berkaitan pengeluaran lesen perjudian adalah di bawah bidang kuasa undang-undang persekutuan.
Justeru, mereka menyifatkan keputusan pihak berkuasa negeri sebagai tidak rasional, melebihi kuasa yang diperuntukkan kepada majlis perbandaran dan kerajaan negeri, serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Arik berkata permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman tidak boleh diteruskan kerana tiada keputusan rasmi yang ditunjukkan.
Malah, menurut beliau, jika pun wujud keputusan rasmi, isu tersebut merupakan salah satu dasar.
“Mahkamah tidak campur tangan dalam keputusan dasar,” katanya.
Rayuan pemohon dijadual untuk pengurusan kes di Mahkamah Rayuan pada 16 Jun.
Kes selari di Kedah
Sementara itu, Mahkamah Tinggi di Alor Setar tahun lalu membatalkan keputusan kerajaan negeri Kedah yang enggan memperbaharui lesen premis perniagaan beberapa ejen pertaruhan, syarikat dan pegawai mereka.
Mahkamah memutuskan bahawa kerajaan negeri telah melampaui kuasanya di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Ia menegaskan bahawa kumpulan wang pertaruhan dan loteri adalah dalam bidang kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkannya.
Rayuan kerajaan negeri terhadap keputusan itu didengar di Mahkamah Rayuan pada 26 Mei dan mahkamah telah menangguhkan keputusannya.
Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 24 Jun.