
Dalam hujahan bertulis difailkan pada penutupan kes, pendakwa raya berkata undang-undang tidak memerlukan mereka membuktikan bahawa Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf berniat untuk kanak-kanak itu mengalami sebarang kecederaan.
“Bukti mengikut keadaan melalui saksi pendakwaan menunjukkan bahawa ibu bapa telah mendedahkan anak mereka kepada kecederaan semasa dia berada bawah jagaan mereka,” menurut hujahan yang dilihat FMT.

Dalam laporan polisnya, Ismanira berkata dia pulang ke rumah pada 5 Dis 2023 bersama Zayn, yang berada di belakangnya. Wanita tersebut mendakwa membawa beg sekolah Zayn dan beberapa barangan runcit yang dibelinya pada masa itu.
Ibu kanak-kanak itu berkata, sebaik menoleh, dia tidak lagi mendengar bunyi tapak kaki anaknya sebelum menyedari kanak-kanak terbabit hilang.
Menurut penghujahan, dua saksi kanak-kanak memberi keterangan melihat Zayn berlari seorang diri ke arah kebun berhampiran Apartmen Idaman sekitar tengah hari itu.
Sementara itu, seorang lagi saksi, Rashidah Rajali yang hendak menghantar anak ke sekolah berkata, dia terserempak Ismanira yang naik ke tingkat atas ke rumahnya.
Menurut Rashidah, Ismanira turun semula kira-kira 12.35 tengah hari.
Beliau berkata, ketika itu Ismanira tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap kehilangan kanak-kanak berkeperluan khas tersebut.
“Satu perkara yang jelas— Ismanira memakai tudung dan pakaian berbeza apabila saksi bertemu semula dengannya 20 minit kemudian,” kata penghujahan itu.
Pihak pendakwaan berkata, Ismanira hanya memaklumkan kehilangan Zayn kepada pengasuhnya, Auni Afiqah Abas, kira-kira sejam selepas kanak-kanak itu hilang.
Mereka berkata, pegawai perubatan Dr Siti Ramlah Abdullah memberi keterangan bahawa kanak-kanak autisme memerlukan tahap penjagaan yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak biasa.
Pendakwa raya juga menunjukkan bukti bahawa Zayn tidak ditemani ketika dilihat berhampiran kebun.
“Ibunya tidak berada di sana untuk menghalang Zayn daripada pergi ke kebun,” kata hujahan itu.
Ia berkata semua bukti, apabila disatukan, membawa kepada kesimpulan Zayn diabaikan saat dia ditinggalkan untuk berjalan di belakang Ismanira, yang tidak mempedulikannya.
“Ibu itu hanya mengambil berat tentang dirinya sendiri ketika dia meninggalkan barangan runcit di dalam rumah sebelum mencari anaknya. Kelakuannya dilihat pada kamera litar tertutup di apartmen,” kata mereka.
Apa yang lebih menyayat hati ialah ibu itu tidak kelihatan panik atau menunjukkan kebimbangan, tambah penghujahan.
“Tiada seorang pun saksi pendakwaan yang mendengar dia menjerit atau memanggil nama mangsa. Sebaliknya, dia memilih pergi ke apartmennya untuk menukar pakaian dan kemudian kembali seperti tiada apa-apa berlaku.”
Pihak pendakwaan berkata, ibu bapa mempunyai tanggungjawab undang-undang dan moral untuk menjaga, melindungi dan memastikan keselamatan kanak-kanak itu.
“Oleh itu, kami berhujah bahawa pasangan itu mempunyai niat yang sama untuk melakukan jenayah itu,” kata penghujahan, sambil menambah pihak pendakwaan telah menimbulkan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.
Ismanira dan Zaim, masing-masing berusia 30 tahun, didakwa mengabaikan Zayn dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu, antara Blok R Apartmen Idaman di Damansara Damai dan kawasan berhampiran, dari tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam keesokannya.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mayat Zayn ditemui di sungai berhampiran rumahnya pada 6 Dis 2023, sehari selepas dilaporkan hilang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan H Lavanesh mewakili pasangan itu.
Hakim Syaliza Warnoh akan menyampaikan keputusannya pada 21 Julai ini.