Balu Daim akan cabar sitaan Menara Ilham

Balu Daim akan cabar sitaan Menara Ilham

Peguam kata tindakan berulang kali menyita bangunan itu adalah suatu gangguan.

ilham tower
Menara Ilham milik bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, dan keluarganya. (Gambar website)
PETALING JAYA:
Peguam mewakili balu bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, diarah mencabar penyitaan Menara Ilham di mahkamah serta-merta.

Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal, yang bertindak bagi pihak Naimah Khalid, berkata tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berulang kali menyita bangunan itu adalah suatu gangguan.

“Ini adalah dendam, menyalahi undang-undang, dan salah guna kuasa secara terang-terangan oleh SPRM,” menurut kenyataan.

Sitaan kali ini merupakan kali kedua badan antirasuah itu menyita bangunan itu.

Peguam Naimah berkata SPRM pernah menyita Menara Ilham sebelum ini, menimbulkan persoalan tentang justifikasi untuk tindakan sama sekali lagi.

“Kami akan, bagi pihak anak guam kami, mencabar penyitaan Menara Ilham di mahkamah dengan segera,” kata mereka.

SPRM peroleh kebenaran untuk menyita bangunan 60 tingkat tersebut daripada timbalan pendakwa raya, berdasarkan notis mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) bertarikh 4 Jun.

Bulan lalu, SPRM membuka lapan kertas siasatan baharu mengenai aset ‘bernilai tinggi’ yang dikaitkan dengan bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin, dan ahli keluarganya selepas menerima maklumat baharu dari luar negara.

Awal minggu ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan SPRM membekukan aset bernilai £132 juta (RM758.2 juta) milik isteri Daim, iaitu Naimah Khalid, dan keluarga.

Aset itu dilaporkan termasuk dua bangunan komersial dan lima kediaman mewah dan satu akaun bank.

Naimah merancang untuk mencabar perintah mahkamah, yang diberikan secara ex parte, dengan hujah bahawa aset itu diperoleh secara sah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.