
Blok serantau terdiri 10 negara bergantung kepada pelaburan AS dan akses ke pasaran Barat, manakala China rakan dagangan terbesarnya, menjadi bahagian penting dalam rantaian bekalan Asean.

Felo Kanan Lee Kuan Yew School of Public Policy, Denis Hew, berkata keupayaan Asean untuk kekal berkecuali semakin terhakis dengan pantas, sementara pengaruh ekonomi China di Asia Tenggara terus berkembang.
“AS semakin bersifat ‘protectionist’, tetapi ia telah melangkaui perkara itu. Ia mula melemahkan susunan ekonomi sedia ada,” katanya, merujuk kelemahan institusi seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Hubungan dagangan dan pengeluaran antara China dan Asean berkembang dengan ketara, menjadikan hubungan itu bahagian penting dalam landskap ekonomi serantau.”
Beliau memberi amaran, tanpa perpaduan dalaman yang lebih kukuh, Asean berisiko dipengaruhi oleh kuasa luar berbanding keutamaan sendiri.
Mengemudi peralihan susunan global
Ahli ekonomi Jeffrey Sachs, profesor di Universiti Columbia berkata, susunan global kini beralih ke arah dunia multipolar, dengan Asia bangkit daripada era dominasi Barat yang panjang.

Beliau berkata, Asean seharusnya menolak tekanan untuk memilih pihak, dan kuasa besar dunia mesti belajar untuk bekerjasama dengan kelompok seperti Asean.
Tricia Yeoh dari Universiti Nottingham Malaysia berkata, Asean perlu menilai semula cara ia berurusan dengan AS, terutama memandangkan pendekatan Washington yang tidak konsisten terhadap rantau ini. Ia juga tidak boleh terlalu bergantung kepada China.

Katanya, Asean perlu membina hubungan lebih meluas dengan wilayah seperti Kesatuan Eropah (EU), Amerika Latin dan Afrika.
“Hubungan global ini akan mengukuhkan daya tahan Asean dalam menghadapi peningkatan konflik dan ketidaktentuan yang semakin mendalam—bukan sahaja dalam bidang ekonomi dan perdagangan, tetapi keselamatan dan budaya,” katanya.
Perluas kerjasama melalui sidang kemuncak strategik
Asean, dalam usahanya, cuba mengelakkan daripada terperangkap dalam paksi kuasa tertentu. Blok serantau itu baru-baru ini menganjurkan Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China yang pertama, bertujuan memperkukuh perdagangan dan hubungan rangkaian.
Usaha tiga hala ini mencerminkan strategi Asean untuk mengelakkan kebergantungan terhadap satu kuasa sahaja, sebaliknya memastikan kestabilan melalui rangkaian kerjasama yang luas.
Namun, strategi berkecuali ini bukanlah sesuatu yang baharu.
Sejak 1970, bawah Perdana Menteri Abdul Razak Hussein, Malaysia mengetengahkan konsep Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali (Zopfan), yang dimeterai pada 1971 sebagai komitmen Asean untuk kekal bebas daripada campur tangan luar ketika era Perang Dingin.
Sachs berkata, Zopfan masih relevan dan rantau ini mesti kekal terbuka kepada semua pihak tanpa terjerumus ke dalam konflik global.
Dengan ruang berkecuali semakin mengecil, Asean kini berada dalam situasi amat mencabar. Namun, itu tidak bermakna ia tidak mempunyai kuasa.
“Jika Asean dapat menyelaraskan tindakan dan menjalinkan integrasi lebih mendalam, ia akan menjadi entiti ekonomi yang hebat. Beberapa anggaran mencadangkan menjelang 2030, Asean boleh menjadi ekonomi serantau bernilai USD4 trilion, keempat terbesar di dunia, sekiranya bergabung,” kata Hew.