Bukan ‘Kota Anwar’, pemimpin PKR bidas Wan Saiful

Bukan ‘Kota Anwar’, pemimpin PKR bidas Wan Saiful

MPP PKR G Sivamalar dakwa nama 'Kota Madani', dibangunkan di Putrajaya adalah inisiatif berasaskan prinsip dan nilai lebih besar untuk negara.

G Sivamalar dakwa Wan Saiful Wan Jan cuba gagalkan pembaharuan kerajaan terutama mengatasi masalah perumahan penjawat awam dan pekerja bandar.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR menafikan dakwaan sinis pembangunan ‘Kota Madani’ diwujudkan semata-mata mengangkat Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat G Sivamalar membidas sindiran Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan yang disifatkan sebagai penghinaan terhadap teras dasar pentadbiran diperjuangkan kerajaan.

Menurutnya, Madani ialah singkatan kepada nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan sebagai prinsip utama kerajaan yang memperjuangkan tadbir urus baik, pembangunan inklusif serta kesejahteraan rakyat.

“Perlu ditegaskan bahawa Kota Madani bukan ‘Kota Anwar’ seperti didakwa secara sinis oleh beliau.

“Nama Madani tidak pernah dicipta untuk mengangkat mana-mana individu tetapi teras dasar pentadbiran negara hari ini,” katanya dalam kenyataan.

“Memalukan apabila seorang Ahli Parlimen sanggup memperlekehkan falsafah negara yang berteraskan nilai murni ini demi kepentingan politik sempit.”

Semalam Wan Saiful menggesa kerajaan menghentikan amalan penggunaan slogan pentadbiran semasa untuk projek pembangunannya yang dikhuatiri akan merugikan wang rakyat jika kerajaan bertukar.

Menurut pemimpin Bersatu itu, lebih baik kerajaan menggunakan nama yang lestari dan tidak berubah untuk projek-projeknya kerana nama terbabit akan kekal.

Rabu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa mengumumkan pembangunan Kota Madani dengan keluasan 102 ekar di Putrajaya.

Majlis pecah tanah di jadual berlangsung pada 26 Jun depan yang bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman untuk lebih 30,000 penduduk.

Sivamalar turut mendakwa gesaan Wan Saiful itu sebagai cubaan menggagalkan usaha pembaharuan kerajaan terutama dalam mengatasi masalah perumahan penjawat awam dan pekerja bandar.

“Bukannya menabur fitnah dan memburukkan inisiatif yang membawa manfaat besar kepada rakyat.

“Politik sinikal dan retorik tanpa fakta seperti ini sudah lapuk dan tidak lagi relevan dalam landskap Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.