
Ketua Polis Kota Setar Siti Nor Salawati Saad berkata kemalangan 2.10 petang itu membabitkan dua motosikal jenis Yamaha 135LC dan Yamaha Y16ZR serta sebuah kereta jenis Naza Citra.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal Yamaha 135LC hilang kawalan sehingga melanggar bahagian belakang kereta yang sedang berhenti di laluan kecemasan.
“Motosikal Yamaha Y16ZR yang berada di belakang pula gagal mengelak sebelum melanggar Yamaha 135LC berkenaan,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.
Difahamkan, keempat-empat sahabat itu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidiladha.
Siti Nor Salawati berkata, akibat pelanggaran itu, dua penunggang dan seorang pembonceng meninggal dunia di tempat kejadian, seorang lagi pembonceng cedera.
Menurutnya, tiga mangsa yang meninggal dunia adalah Muhamad Habil Mohd Sobri, Muhammad Fahmi Jamel dan Muhamad Arif Aifan Derani.
Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu hadir ke Balai Polis Trafik Kota Setar atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Mohd Lukmanul Hakim Mohd Fauzi di talian 04-7321 222 atau 013-9964614.