
Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama, Mokhtar Senik, berkata peraturan khas itu untuk mengawal kualiti kelayakan bagi pemegang jawatan yang kini disandang Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kalau ada dua calon layak sahaja maka orang itu sahaja bertanding. Mereka yang tak layak digugurkan Majlis Syura.
“Ini bertujuan mengawal kualiti kelayakan penjawat kedua-dua jawatan itu. Sebab saya bimbang semua orang merasakan dia layak,” katanya di Facebook.
Untuk rekod, Hadi dan Tuan Ibrahim turut menganggotai Majlis Syura Ulama yang diketuai Mursyidul Am Hashim Jasin.
Sebelum ini, timbul spekulasi jawatan presiden dan timbalan presiden PAS mungkin dipertandingkan buat kali pertama dalam pemilihan dijangka September ini.
Laporan FMT memetik sumber berkata, perkara itu mungkin berlaku jika Hadi yang menyandang jawatan presiden sejak 2002 mengundur diri seperti diminta segelintir ahli susulan keadaan kesihatannya.
Pada masa sama, ada ura-ura mendakwa Tuan Ibrahim juga mahu memberi laluan kepada pemimpin lain, namun wujud gesaan pro ulama memintanya kekal pertahan jawatan nombor dua parti dimenangi.
Hadi dan Tuan Ibrahim setakat ini belum membuat keputusan berhubung pencalonan mereka untuk mengekalkan kedudukan sedia ada.
Kali terakhir dua jawatan itu dipertandingkan pada 2015 menyaksikan Hadi menewaskan Ahmad Awang manakala Tuan Ibrahim merampas kerusi timbalan daripada Mohamad Sabu.
Pertembungan antara kumpulan pro ulama dan profesional pada pemilihan itu menyaksikan ramai pemimpin PAS keluar termasuk Mohamad, Khalid Samad dan Dzulkefly Ahmad.
Mereka menubuhkan Amanah yang menjadi sebahagian komponen Pakatan Harapan (PH).