‘Kembalikan kuasa’, Dr M jemput ahli Umno sertai gabungan Melayu baharu

‘Kembalikan kuasa’, Dr M jemput ahli Umno sertai gabungan Melayu baharu

Bekas perdana menteri berkata gabungan itu bertujuan mengembalikan kuasa kepada orang Melayu.

Dr Mahathir Mohamad menghadiri sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini. Turut hadir, (dari kiri) pemimpin PN Hamzah Zainudin, Muhyiddin Yassin dan Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan).
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menjemput ahli Umno menyertai gabungan baharu dikenali sebagai Sekretariat Orang Melayu dalam usaha ‘mengembalikan kuasa Melayu’ dalam kerajaan.

Bagaimanapun, Mahathir berkata, beliau bukanlah menjemput Umno sebagai sebuah parti untuk menyertai gerakan itu.

“Saya tidak ajak Umno secara rasmi. Tetapi saya jemput orang Melayu dalam Umno.

“Jika mereka setuju dengan usaha ini, kita terima mereka sebagai orang Melayu, bukan sebagai ahli parti,” katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung, Hamzah Zainudin, dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man turut menghadiri sidang media itu.

Mahathir berkata gabungan khemah besar itu, yang turut merangkumi PAS dan Bersatu, bukanlah parti politik rasmi buat masa ini.

Katanya ia akan menjadi ‘payung besar’ untuk menyatukan orang Melayu demi menyelamatkan masa depan golongan itu dari segi politik dan ekonomi.

“Kami bersetuju untuk membentuk satu gerakan tidak rasmi, satu ‘payung besar’ supaya semua orang Melayu boleh bersatu di bawah satu naungan.

“Jika ada terlalu banyak kumpulan kecil yang memperjuangkan perkara sama, akhirnya semua akan berpecah dan gagal. Kita hanya boleh menang jika bersatu, dan hanya dengan kemenangan kita boleh dapat kuasa kembali,” katanya.

Mahathir turut mendakwa kedudukan orang Melayu kini terancam malah tiada kebebasan bersuara apabila isu kaum, agama dan raja (3R) tidak boleh dibincangkan secara terbuka.

“Ini menunjukkan kerajaan kita zalim – tak benarkan rakyat bercakap tentang isu sebenar,” katanya.

Beliau berkata, bahasa Melayu sepatutnya menjadi bahasa kebangsaan tetapi kini semua bahasa digunakan dan bahasa Melayu semakin hilang peranannya.

Beliau turut mendakwa dasar-dasar Perlembagaan yang sepatutnya melindungi orang Melayu semakin diketepikan, manakala perlindungan terhadap kedudukan orang Melayu yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan tidak dilaksanakan.

“Saya yakin kenyataan saya hari ini pun tidak akan disiarkan di akhbar arus perdana. Mungkin hanya akan tersebar di media sosial.

“Kita mahu orang Melayu sedar tentang keadaan mereka. Ramai orang kampung tidak faham politik, jadi kita kena maklumkan kepada mereka bahawa kedudukan mereka sedang terancam,” katanya.

Beliau juga berkata gabungan itu akan membuat persiapan untuk bertanding pilihan raya bagi memastikan orang Melayu kembali berkuasa dalam negara.

“Hari ini, kuasa orang Melayu sudah hilang sebahagian besar. Kita mahu pulihkan semula kekuatan itu,” katanya.

Bulan lalu, Mahathir berkata parti berteraskan Melayu termasuk PN gagal menyatukan orang Melayu.

Katanya, perpaduan Melayu tidak dapat dicapai dalam ruang lingkup parti politik kerana mereka semua ‘mempunyai agenda tersendiri’.

Gabungan baharu itu bukan cubaan pertama Mahathir untuk menyatukan orang Melayu. Pada Ogos 2022, beliau mengumumkan pembentukan Gerakan Tanah Air (GTA) merangkumi parti, NGO, ahli akademik dan profesional Melayu.

Pada Mei 2023, Mahathir meninggalkan GTA selepas ia gagal meraih sokongan pengundi dalam PRU-15.

GTA bertanding 125 kerusi dalam PRU pada November 2022 tetapi malangnya semua calonnya kecundang dan hilang wang deposit, termasuk Mahathir dan anaknya Mukhriz yang juga presiden Pejuang.

Pejuang turut meninggalkan GTA pada Januari 2023 untuk memberi fokus terhadap mengukuhkan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.