
Yeah Kim Leng daripada Universiti Sunway berkata, langkah itu akan membolehkan Putrajaya mengurangkan RM3.4 bilion yang dibelanjakan untuk subsidi LPG setiap tahun, membolehkan penjimatan itu diagihkan semula kepada program pembangunan.
“Jumlah subsidi itu besar dan lebih baik digunakan untuk program pembangunan kesihatan, pendidikan dan kebajikan lain. Ini harus disampaikan dengan baik, selaras dengan pembaharuan rasionalisasi subsidi negara,” katanya kepada FMT.
Yeah bagaimanapun berkata, peniaga terutamanya vendor kecil dan penjaja harus diberi tempoh tangguh agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Berbanding penguatkuasaan yang tegas, pendekatan yang lebih mesra dan bertimbang rasa, seperti amaran bagi pesalah kali pertama dan pemantauan lebih rapi, lebih dialu-alukan dan kurang menjejaskan peniaga kecil dan penjaja,” katanya.
Bulan lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Ops Gasak dalam usaha membendung penyalahgunaan LPG bersubsidi, khususnya oleh pengguna industri dan perniagaan berskala besar.
Perniagaan termasuk restoran dan kafe mesti menggunakan silinder LPG 14kg gred komersial yang berharga RM70, bukan silinder bersubsidi untuk isi rumah berharga RM26.
Mereka yang menggunakan atau menyimpan lebih 42kg, atau tiga silinder, juga mesti mendapatkan permit barang kawalan berjadual.
Walaupun diperkenalkan pada 2021, peraturan itu hanya kini dikuatkuasakan dengan ketat, bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif itu bertujuan membendung penyalahgunaan LPG bersubsidi oleh sektor yang tidak layak dan menghalang pemindahan gas secara haram daripada silinder bersubsidi kepada silinder tidak bersubsidi untuk dijual semula dengan keuntungan.
Beliau juga berkata, pegawai penguat kuasa mengutamakan advokasi berbanding langkah menghukum, dan tiada kompaun akan dikeluarkan mahupun rampasan dilakukan pada peringkat ini.
Yeah berkata, ramai peniaga malah tidak sedar peraturan itu wujud, dan beliau mencadangkan agar kerajaan menetapkan tempoh tangguh sebelum menguatkuasakan undang-undang itu sepenuhnya.
Katanya, perniagaan kecil, terutama penjaja, mungkin tidak biasa dengan undang-undang itu.
“Memandangkan kebanyakan peniaga dan penjaja kecil menerima maklumat dari mulut ke mulut, tempoh tangguh yang disertai program komunikasi dan pendidikan awam yang mantap pastinya akan membantu mengurangkan penyalahgunaan gas bersubsidi.”