Na’imah cabar keputusan benar beku harta lebih RM750 juta

Na’imah cabar keputusan benar beku harta lebih RM750 juta

Na’imah Abdul Khalid dakwa tidak dimaklumkan mengenai kebenaran kepada SPRM untuk beku harta beliau dan keluarganya di luar negara.

naimah khalid
Na’imah Abdul Khalid menegaskan harta yang dibekukan SPRM dimiliki beliau dan keluarga secara sah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Na’imah Abdul Khalid akan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan hartanya serta keluarga di luar negara.

Menegaskan harta terbabit dimiliki secara sah, isteri kepada bekas menteri kewangan Daim Zainuddin itu berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai tindakan berkenaan dan hanya mengetahuinya melalui laporan media.

Beliau menyifatkannya sebagai pencabulan mengejut norma undang-undang paling asas yang tidak boleh diterima dan boleh menjadi pendahulu berbahaya menerusi tindakan penyitaan tanpa sebarang notis kepada pemilik sah.

Na’imah mendakwa SPRM memperoleh perintah ex-parte (sebelah pihak) itu secara rahsia dan dirinya tidak diberi peluang untuk bersuara di mana beliau sepatutnya dibenarkan menyatakan pembelaan di mahkamah.

“Peguam saya akan segera mencabar dan mengenepikan perintah itu.

“Saya akan mencabar perintah ini untuk mempertahankan apa yang tidak sepatutnya dirampas daripada mana-mana antara kita: hak kita, suara kita, dan sebuah negara ditadbir undang-undang, bukan ketakutan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan SPRM membekukan tujuh hartanah dan satu akaun bank bernilai 132 juta pound Britain (RM758.2 juta) milik Na’imah dan keluarga.

Tiga kediaman mewah dan dua bangunan komersial di London antara aset dibenarkan dibekukan.

Perintah itu diberikan Hakim Azhar Abdul Hamid selepas membenarkan permohonan dikemukakan pada prosiding secara ex-parte.

Pada 23 Jan 2024, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan gagal mematuhi notis mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Enam hari kemudiannya Daim turut didakwa atas tuduhan sama, membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.

Pada 20 Nov tahun lalu, kes pengisytiharan aset melibatkan Daim ditamatkan susulan kematian beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.