
Loke berkata, tempoh 30 hari untuk petugas khas menyiasat kemalangan itu yang bermula pada 15 Mei lalu hampir tamat.
“Laporan pasukan petugas khas itu akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan.
“Saya akan membentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum tindakan seterusnya diambil,” katanya pada sidang media.
Dalam kejadian 13 Mei lalu, sebuah trak FRU dalam konvoi pulang selepas bertugas sempena sambutan Chitirai Pournami terlibat kemalangan dengan lori muatan batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampam.
Sembilan anggota FRU daripada Unit 5 Ipoh maut dalam nahas itu.
Bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad dan Ahli Parlimen PAS Khairil Nizam Khirudin antara ahli pasukan petugas khas menyiasat kemalangan tragis itu yang diketuai Ketua Inspektor Kemalangan Udara Tan Chee Kee.
Selain menyiasat punca kejadian termasuk mengenal pasti sebarang kelemahan sistemik dari aspek keselamatan jalan raya, pasukan itu juga berfungsi menganalisis keberkesanan penguatkuasaan sedia ada serta peraturan dalam industri pengangkutan.
Pasang pintu keselamatan di semua stesen LRT
Sementara itu, Loke meminta Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memasang pintu keselamatan penumpang di semua stesen transit aliran ringan (LRT) susulan kejadian lelaki Taiwan maut digilis di Pusat Bandar Puchong, semalam.
“Untuk stesen-stesen MRT baharu, memang ada pintu keselamatan, kita ada satu pintu sebelum tren sampai…begitu juga dengan Monorail.
“Cuma untuk LRT aliran Ampang ini, ada stesen dengan reka bentuk lama belum ada pemasangan pintu keselamatan di platform,” katanya.