Laksana syarat ketat kepada pengilang vape, pastikan hanya untuk eksport

Laksana syarat ketat kepada pengilang vape, pastikan hanya untuk eksport

Kebenaran menjual dalam pasaran tempatan akan menghantar mesej bercanggah kepada rakyat seolah-olah produk itu sah dan selamat digunakan.

Vape
KKM sebelum ini menjelaskan aktiviti pengimportan, pengilangan dan pengedaran cecair rokok elektronik dikawal Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemberian lesen pengilang kepada syarikat seperti Ispire Technology Inc menghasilkan rokok elektronik wajar disertai syarat ketat bagi memastikan pengeluaran hanya untuk tujuan eksport.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), T Saravanan, berkata kebenaran menjual dalam pasaran tempatan akan menghantar mesej bercanggah kepada rakyat iaitu seolah-olah produk tersebut sah dan selamat digunakan, sedangkan tiada bukti kukuh vape adalah alternatif ‘sihat’ untuk berhenti merokok.

T Saravanan.

Pihaknya percaya kesihatan rakyat tidak seharusnya menjadi korban kepada kepentingan ekonomi industri vape.

“Jika kerajaan benar-benar komited dalam melindungi generasi muda daripada ketagihan nikotin, maka produk ini tidak seharusnya dijual secara terbuka dalam pasaran tempatan walaupun pengeluarannya dibenarkan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan aktiviti pengimportan, pengilangan dan pengedaran cecair rokok elektronik dikawal Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) walaupun dibenarkan untuk didagangkan di pasaran tempatan.

KKM menjelaskan, cecair rokok elektronik ditafsirkan sebagai ‘bahan merokok’ menurut Seksyen 2 Akta 852, iaitu apa-apa bahan atau apa-apa gabungan bahan digunakan untuk merokok termasuk nikotin, propylene glycol, glycerol dan triethylene glycol.

Penjelasan itu merujuk laporan berkaitan sebuah syarikat yang mendapat lesen pengilang bagi mengeluarkan peranti rokok elektronik dengan cecair atau gel mengandungi campuran nikotin, secara interim.

Badan pemikir kesihatan, CodeBlue melaporkan lesen Ispire Technology Inc berpangkalan di Amerika Syarikat, yang mengendalikan kemudahan di Senai, Johor, diluluskan bulan ini oleh pihak berkuasa persekutuan dan Johor.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata pihaknya menyokong pengawalseliaan bawah Akta 852, bagaimanapun menegaskan kawalan bukan bermaksud kelulusan tanpa sempadan.

“Fomca juga menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap kesan sosial dan kesihatan daripada dasar ini, termasuk risiko mungkin terdedah kepada produk murah dan mudah diakses,” katanya.

Dr Zainal Ariffin Omar.

Sementara itu, pakar kesihatan awam, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata kelulusan diberikan kerajaan kepada syarikat tersebut adalah kesilapan besar yang boleh membawa implikasi negatif terhadap kesihatan awam, walaupun memberi manfaat ekonomi.

Katanya, kelulusan itu juga dilihat sebagai pengiktirafan terhadap industri vape yang bercanggah usaha membendung penggunaan produk rokok dalam kalangan rakyat, khususnya remaja.

“Produk ini bahaya dan merosakkan kesihatan. Kerajaan sudah buat kesilapan dan sedang buat kawalan pembetulan (damage control)…Malaysia bercadang menjadi negara bebas tembakau 2040, tetapi dengan kelulusan itu mungkin bercanggah dengan matlamat ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.