
Kementerian Pertahanan Malaysia sedang meneroka bagaimana AI boleh digunakan dalam bidang seperti sistem senjata, keselamatan siber dan analisis data, dengan negara lain di seluruh Asean turut berbuat demikian.
Indonesia bekerjasama dengan Turki untuk membangunkan dron berkuasa AI, manakala cabang teknologi pertahanan Vietnam, Viettel mengintegrasi AI dalam sistem radar dan peperangan elektronik.
Sebagai pengerusi Asean tahun ini, Malaysia turut mengetuai usaha pendigitalan dalam kalangan PKS dengan memperuntukkan geran RM100 juta dan pinjaman RM900 juta untuk menggalakkan automasi serta penggunaan AI bagi meningkatkan produktiviti.
Tetapi, diplomat dan penganalisis menggesa pendekatan tadbir urus lebih seimbang dan berpaksikan manusia kerana bimbang kebergantungan berlebihan terhadap teknologi AI.
Pada Forum Ekonomi Fortune Asean-GCC 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak sepatutnya mengabaikan nilai kemanusiaan ketika menerima pakai AI dan menggesa undang-undang digubal bagi melindungi kedaulatan digital.
Pendekatan berpaksikan manusia
Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Rafael Daerr memberitahu FMT, Asean dan EU berkongsi pandangan sama, iaitu AI perlu kekal berpaksikan rakyat.

Memandangkan AI akan memberi impak meluas kepada masa depan, beliau berkata, penting untuk mencari keseimbangan sesuai ‘antara memastikan satu bentuk rangka kerja peraturan atau tadbir urus yang mengekalkan ruang maksimum bagi inovasi dan menjadikannya berpaksikan manusia sebaik mungkin’.
Penganalisis turut menggesa penggunaan AI dalam konteks ketenteraan secara berwaspada, khasnya di tengah-tengah ketegangan semakin meningkat di Laut China Selatan dan ketidakstabilan di Myanmar.

Faizal Abdul Rahman, felo penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam Singapura, berkata propaganda menggunakan AI sudah membentuk naratif di Laut China Selatan, menyifatkannya barisan depan baharu dalam peperangan kognitif.
“Negara yang menuntut perlu bersiap sedia berdepan taktik peperangan kognitif AI.”
Namun, katanya masih tidak jelas sama ada negara Asean bersedia menerima had kawal selia yang boleh mengekang pergerakan strategik mereka di Laut China Selatan, perairan sangat dipertikaikan di mana China, melalui ‘Nine Dash Line’ (garisan maritim dituntut) menegaskan kedaulatan dan tuntutan maritim ke atas kawasan luas.
Faizal berkata, rundingan kod tatalaku Asean-China yang berlarutan lebih dua dekad menunjukkan lebih banyak sikap pesimis berbanding optimis dalam menyelesaikan pertikaian itu.
Peningkatan kes jenayah siber guna AI
Selain aplikasi ketenteraan, AI turut mendorong peningkatan jenayah siber canggih rentas sempadan, khasnya penipuan didorong AI generatif, deepfake dan pengklonan suara.
Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2023 mendedahkan penjenayah siber di Asia Tenggara dan Timur memperdaya mangsa dengan kerugian mencecah USD37 bilion melalui penipuan menggunakan AI.

Dalam wawancara bersama FMT, Dusit Manapan, penasihat kepada menteri luar Thailand, berkata ketidakstabilan politik di Myanmar membawa risiko peningkatan jenayah seperti penipuan komersial, pengedaran dadah dan perdagangan senjata.
Katanya ‘langkah tegas’ kerajaan Thailand membendung kegiatan jenayah di sepanjang sempadan Myanmar hanya berjaya sebahagiannya kerana penjenayah sentiasa mencari jalan menggantikan apa yang hilang.
Dusit berkata, pengawasan udara melalui dron turut dihalang teknologi terkini.
“Orang di sana memiliki teknologi tinggi untuk menyekat dron kami dan saya fikir mereka mempunyai sumber serta keupayaan untuk mendapatkan peralatan berteknologi tinggi. Ini perniagaan yang mengaut banyak keuntungan bagi mereka.”
Visi Komuniti Asean 2045, yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak Asean ke-46 minggu lalu, menggabungkan AI sebagai komponen penting dalam strategi pembangunan rantau ini.
Malaysia akan menerajui penubuhan rangkaian keselamatan AI Asean, untuk menginstitusikan prinsip keselamatan, etika dan tadbir urus AI serantau, meletakkan rantau ini sebagai peneraju dalam pembangunan AI bertanggungjawab.