Timbalan presiden lantikan tiada keabsahan, kata penganalisis

Timbalan presiden lantikan tiada keabsahan, kata penganalisis

James Chin berkata Rafizi Ramli bertindak tepat menolak tawaran itu, manakala Syaza Shukri berpandangan senario dua-timbalan presiden tidak berkesan kepada PKR.

rafizi ramli nurul izzah
Rafizi Ramli berkata Nurul Izzah Anwar ada mencadangkan diwujudkan jawatan timbalan presiden lantikan dalam pertemuan mereka tiga hari sebelum perwakilan parti mengundi.
PETALING JAYA:
Cadangan Nurul Izzah Anwar melantik timbalan presiden kedua PKR dikritik penganalisis politik, sambil menyatakan ia tidak mempunyai keabsahan malah mendalamkan lagi jurang perpecahan parti.

Rafizi Ramli, yang tumpas kepada Nurul Izzah pada pemilihan timbalan presiden baru-baru ini, mendedahkan Nurul Izzah mencadangkan beliau menjadi timbalan presiden lantikan dalam perjumpaan berasingan sebelum perwakilan parti mengundi.

Timbalan presiden lantikan adalah janggal dan tidak diamalkan parti besar, termasuk Umno. Namun, ada lantikan melibatkan naib presiden.

Rafizi menolak tawaran berkenaan dan telah meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi.

James Chin dari University of Tasmania, berkata cadangan tersebut tidak munasabah dalam sudut pandang demokratik, dan Rafizi membuat keputusan tepat menolaknya.

“Anda tidak boleh ada timbalan presiden lantikan kerana anda tiada keabsahan,” katanya kepada FMT.

“Jika anda mahu melantik jawatan timbalan presiden kedua, sudah tentu terpulang kepada parti untuk memutuskannya, tetapi ia mesti berdasarkan undi daripada perwakilan.”

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata kejayaan model dua-timbalan presiden bergantung sepenuhnya sama ada kedua-dua timbalan sanggup bekerja bersama, sesuatu yang dilihatnya sukar dalam konteks semasa.

“Jika timbalan-timbalan presiden ini bersaing sesama sendiri, penyokong tegar mereka juga akan buat perkara sama. Ia tidak menyelesaikan kepuakan dalam PKR,” katanya.

Syaza berkata, ada kemungkinan struktur itu berjaya andai peranan berkenaan dibahagikan antara politik dan tanggungjawab organisasi, namun mengingatkan idea itu seakan sekadar simbolik sahaja.

“Setakat ini, ia kelihatan usaha politik (oleh Nurul Izzah) untuk kembali merangkul PKR daripada kemarahan dan kekecewaan kem Rafizi dan pengikutnya.

“Kita semua dapat tengok semua ini, dan jujurnya Rafizi mempunyai kelebihan.”

Sebelum ini, Rafizi berkata beliau akan kembali berkhidmat sebagai penyokong kerajaan dan ketua PKR Pandan.

Terdahulu, beliau mendakwa Nurul Izzah ada membuat rayuan saat akhir untuk membantunya selepas pemilihan parti, kerana bimbang barisan kepimpinan baharu boleh membawa masalah kepada bapanya, presiden parti yahng juga Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.