Tak wajar kelirukan orang awam berkait pengampunan Anwar, AGC jawab Dr M

Tak wajar kelirukan orang awam berkait pengampunan Anwar, AGC jawab Dr M

Dr Mahathir Mohamad dakwa pengampunan Anwar Ibrahim pada Mei 2018 tidak sah kerana tidak dibincang Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara melalui pengampunan diraja oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menerusi Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada Mei 2018 (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut hadir dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (FTPB) yang memutuskan Anwar Ibrahim wajar diberi pengampunan diraja.

Mengulas dakwaan Mahathir perkara itu tidak dibincangkan, AGC berkata lembaga berkenaan bersidang di Istana Negara pada 16 Mei 2018 dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V.

“Turut dihadiri antara lain oleh Mahathir sendiri selaku perdana menteri waktu itu.

“Berdasarkan nasihat lembaga, Yang di-Pertuan Agong telah bertitah perkenan bahawa rayuan penuh oleh Anwar dibenarkan dan diberikan pembebasan serta-merta berkuat kuasa dari tarikh persidangan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, peguam negara juga telah memberikan pendapat bertulis mengenai perkara itu selaras Fasal (9) Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan.

Dalam satu video tular, Mahathir mendakwa pengampunan diraja diberikan kepada Anwar pada Mei 2018 tidak sah kerana tidak dibincangkan FTPB.

“Sebarang kenyataan awam yang boleh mengelirukan orang ramai berhubung keputusan FTPB adalah sama sekali tidak wajar,” kata AGC.

Anwar dibebaskan seminggu selepas Pakatan Harapan (PH) menang PRU14.

FTPB dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan turut dianggotai peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan, serta tiga individu lain dilantik Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.