Shahidan Kassim dicabar 3 calon presiden Olahraga Malaysia

Shahidan Kassim dicabar 3 calon presiden Olahraga Malaysia

Persaingan bagi merebut jawatan presiden Olahraga Malaysia dijangka sengit.

Shahidan Kassim
Presiden MA Shahidan Kassim, dijangka berdepan pertembungan empat penjuru pada pemilihan barisan kepimpinan bagi penggal 2025-2029. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Persaingan bagi merebut jawatan presiden Olahraga Malaysia (MA) dijangka sengit membabitkan penyandang dan bekas presiden, selain dua calon yang turut mahukan kedudukan itu.

Penyandang, Shahidan Kassim, dijangka berdepan pertembungan empat penjuru pada pemilihan barisan kepimpinan MA bagi penggal 2025-2029 pada 15 Jun ini, antaranya cabaran bekas presiden Karim Ibrahim, yang juga presiden Persatuan Olahraga Amatur Perak.

Shahidan dan Karim akan disertai timbalan presiden MA ketika ini, Mark William Ling Lee Meng, serta Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Wan Hisham Wan Salleh.

Sementara itu, saingan bagi jawatan timbalan presiden juga dijangka sengit apabila lima calon bakal bertanding.

Turut dijangka sengit ialah pemilihan bagi empat jawatan naib presiden, termasuk satu slot yang diperuntukkan kepada wakil wanita. Sebanyak sembilan calon akan merebut tiga jawatan naib presiden.

Setakat ini, hanya nama Josephine Kang diumumkan sebagai calon untuk jawatan naib presiden wanita ketika Shahidan mengumumkan senarai pencalonan bagi semua jawatan dalam satu sidang media di Hotel Majlis Olimpik Malaysia (OCM).

Mana-mana individu yang dicalonkan boleh bertanding lebih daripada satu jawatan, namun pada hari pemilihan, calon hanya dibenarkan memilih satu jawatan untuk ditandingi.

Ahli gabungan MA yang terdiri daripada 13 persatuan akan diwakili tiga delegasi untuk membuang undi menjadikan jumlah 39 undi keseluruhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.