Sehari raih gaji sebulan, peniaga harap acara antarabangsa terus dibawa masuk

Sehari raih gaji sebulan, peniaga harap acara antarabangsa terus dibawa masuk

Perlawanan antara Manchester United dan Asean All Stars menyaksikan lebih 70,000 pengunjung datang ke Stadium Nasional Bukit Jalil.

Peniaga di Stadium Nasional Bukit Jalil melayan pelanggan.
KUALA LUMPUR:
Setiap hari Nur Maisarah Othman memandu trak makanan untuk jual nasi ayam goreng kunyit sekitar Lembah Klang. Ada hari, untungnya tidak sampai RM1,000 walaupun berniaga dari siang ke malam.

Namun jika ada konsert artis luar negara atau perlawanan bola sepak antarabangsa, Nur Maisarah teruja kerana stok ayam kunyitnya akan laris terjual, mencecah sepuluh tong.

Keuntungan melebihi RM10,000 dalam satu malam bukan lagi mustahil untuknya.

Nur Maisarah Othman.

“Satu hari di stadium bersamaan sebulan kami berniaga di luar,” katanya yang sedang sibuk melayani pelanggan yang datang ke traknya, di kala ribuan berpusu-pusu menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan antara kelab bola sepak popular Manchester United dan Asean All Stars, pada Rabu.

Fenomena inilah yang dirasai ramai peniaga kecil setiap kali Malaysia menjadi tuan rumah acara mega yang menampilkan jenama antarabangsa.

Peniaga barang-barang Manchester United kecil-kecilan, Mohamad Amirul Haziq Darus, pula menggambarkan gerainya bagai ‘diserang’.

Amirul Haziq Darus
Amirul Haziq Darus.

“Kalau acara biasa, RM40,000 tu seminggu tapi dengan kapasiti penonton hingga 70,000 ke atas, kami boleh capai dalam satu hari sahaja,” beritahunya sambil menyeka peluh di dahi.

FMT sempat menemuramah sekumpulan penyokong yang terbang dari Indonesia semata-mata untuk menyaksikan kelab bola sepak kesayangan mereka beraksi di stadium kebanggaan rakyat Malaysia.

“Senang hati sangat di Malaysia,” kata salah seorang sambil ketawa. “Nasi lemak, nasi kandar, teh tarik semua kami mahu cuba.”

Maya Mohammad Mazlan
Maya Mohammad Mazlan.

Sambutan seperti ini meyakinkan peniaga keropok lekor, Lynn Mohamad, untuk membuka gerai setiap kali penganjur menawarkan tapak.

“Ini peluang ekonomi. Kerajaan sepatutnya menganjurkan lebih banyak acara mega seperti ini untuk bantu kami,” katanya.

Maya Mohammad Mazlan, yang baru sahaja mula menjual air kopi tidak menyangka jenamanya, Janecof, dikenali dengan cepat setelah kerap kali menjadi vendor.

“Kalau hari biasa, RM3 ribu susah nak capai. Tapi awal petang ini pun kami sudah raih lebih RM1 ribu,” katanya.

Abu Sofian Yaacob.

Penganalisis ekonomi, Abu Sofian Yaacob dari Universiti Malaysia Kelantan, berpandangan kerajaan perlu terus memberikan sokongan kepada penganjur acara, antaranya dari segi insentif, memudahkan proses permit, dan menyediakan serta menaik taraf tempat acara.

Abu menyarankan kerjasama strategik dengan komuniti penganjur agar ekosistem berkaitan terus berkembang, menegaskan penganjuran acara harus dilihat sebagai memberi impak positif kepada peniaga kecil.

“Kerajaan kena pelbagaikan sektor ekonomi yang mana ada potensi untuk menjana pendapatan. Kena libatkan penganjur dan juga NGO juga,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.