Persatuan Ping Pong Selangor dakwa disabotaj, anggap kepimpinan baharu tak sah

Persatuan Ping Pong Selangor dakwa disabotaj, anggap kepimpinan baharu tak sah

Persatuan gesa Pesuruhjaya Sukan Malaysia siasat barisan kepimpinan baharu yang dipilih selepas mendakwa ia dibuat secara tidak sah.

Naib Presiden Persatuan Ping Pong Selangor Paul Lee Kok Sun dalam sidang media di pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Persatuan Ping Pong Selangor mendakwa mesyuarat agung tahunan (AGM) disabotaj dan menganggap pemilihan barisan kepimpinan baharu dijalankan pihak tertentu pada 3 Mei lalu tidak sah.

Naib Presiden, Paul Lee Kok Sun, berkata pihaknya menyerahkan surat aduan secara rasmi hari ini kepada pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia bagi meminta maklum balas berhubung perkara itu.

“Kita menyerahkan surat aduan itu susulan kegagalan pihak Pesuruhjaya Sukan Malaysia memberikan sebarang maklum balas terhadap aduan rasmi yang dihantar sebanyak tujuh kali melalui emel sejak 7 Mei lalu.

“Aduan tersebut berkait pengambilalihan tidak sah kepimpinan Persatuan Ping Pong Selangor yang jelas bercanggah perlembagaan persatuan dan semangat demokrasi dalam tadbir urus sukan,” katanya dalam sidang media di pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Paul berkata, persatuan juga membuat laporan polis pada 3 Mei lalu bagi menuntut siasatan terperinci oleh Pesuruhjaya Sukan Malaysia terhadap pelanggaran yang berlaku.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang respons, penjelasan atau tindakan susulan diterima daripada pihak Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

“Ini adalah satu bentuk penindasan dan pencabulan terhadap prinsip keadilan serta ketelusan dalam pengurusan persatuan sukan.

“Persoalan utama ialah bagaimana pengambilalihan kuasa yang melanggar peraturan ini boleh dibiarkan tanpa sebarang tindakan oleh badan autoriti,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak teragak-agak membawa isu itu ke peringkat lebih tinggi termasuk Kementerian Belia dan Sukan dan mengambil tindakan undang-undang jika perlu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.