Kes rogol, curi di Kelantan naik ketara

Kes rogol, curi di Kelantan naik ketara

Kes rogol naik kepada 157 pada 2024 berbanding 130 tahun sebelumnya.

Yusoff Mamat
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata curi kekal penyumbang utama dengan 732 kes dilaporkan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Jenayah indeks di Kelantan mencatat peningkatan sebanyak 15.1% sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata sebanyak 2,296 kes direkodkan pada 2024, berbanding 1,994 kes bagi tempoh sama pada 2023 iaitu peningkatan 302 kes.

“Daripada jumlah itu, jenayah dalam kategori kekerasan meningkat 8.5% iaitu daripada 390 kepada 423 kes, manakala kategori harta-benda meningkat 16.7%, daripada 1,604 kepada 1,872 kes.

“Antara kes kekerasan yang menunjukkan peningkatan ketara ialah rogol yang naik kepada 157 kes berbanding 130 kes tahun sebelumnya (naik 20.7%), serta samun berkawan tanpa senjata api yang meningkat kepada 54 kes berbanding 43 kes (naik 25.6%),” katanya semasa menghadiri program perbincangan dialog awam ketua polis kelantan tahun 2025 bertajuk ‘Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan’ di Universiti Malaysia Kelantan.

Yusoff berkata, kes mencederakan turut menunjukkan peningkatan, dengan 157 kes berbanding 147 tahun lepas (naik 6.8%).

Bagaimanapun, beberapa kes kekerasan mencatat penurunan ketara termasuk kes bunuh yang menurun kepada empat kes berbanding sembilan kes (turun 55.6%) dan samun bersenjata api yang turun kepada dua kes berbanding lima kes (turun 60%).

Sementara itu, dalam kategori harta-benda, curi kekal penyumbang utama dengan 732 kes dilaporkan, meningkat 50.9% berbanding 485 kes tahun sebelumnya.

“Kes pecah rumah turut melonjak kepada 628 kes, meningkat 41.7% berbanding 443 kes pada 2023. Kes curi motokar juga naik kepada 12 kes berbanding sembilan tahun lepas (naik 23.3%).

“Bagaimanapun, curi motosikal menunjukkan penurunan ketara, daripada 128 kes kepada 68 kes (turun 46.9%),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.