
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan kerja itu membabitkan perkhidmatan KTM Komuter laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang dan Tanjung Malim-KL Sentral-Tanjung Malim serta ETS.
“Kerja migrasi sistem semboyan sedang dilaksanakan di laluan antara Stesen Kepong sehingga Stesen Salak Selatan untuk memastikan sistem semboyan lebih cekap, selamat dan mampu menyokong operasi tren penumpang semakin meningkat di Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha mewakili pengurusan KTMB memohon maaf kepada penumpang terkesan atas kelewatan sepanjang tempoh migrasi sistem itu.
KTMB memaklumkan kerja itu dilaksanakan bawah Projek Menaik Taraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT) Fasa 1 bermula 2015 melibatkan kerja membaik pulih landasan serta sistem perkeretapian dari Rawang ke Salak Selatan serta dari Simpang Batu ke Sentul membabitkan jarak 110km.
Skop projek KVDT Fasa 1 merangkumi kerja naik taraf formasi dan struktur landasan bertalian atas, penambahbaikan sistem persemboyanan dan komunikasi, sistem elektrifikasi dan naik taraf kemudahan di 16 stesen utama di sektor Lembah Klang.
Semua skop kerja bagi projek itu disiapkan pada April lalu, kecuali sistem persemboyanan.
KTMB juga memaklumkan projek KVDT Fasa 2 bermula Februari 2023 untuk jajaran sepanjang 140km meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban dan Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, yang dijangka siap pada 2029.
Sejak projek baik pulih dan menaik taraf infrastruktur landasan kereta api berkembar itu bermula, jumlah perkhidmatan KTM Komuter dihadkan mengikut frekuensi selang masa 30 minit kerana hanya satu landasan dapat beroperasi di sektor landasan sedang dirombak serta dirawat.
“Kerja baik pulih ini penting demi memastikan keselamatan pengangkutan rel kerana selain faktor infrastruktur landasan lama, terdapat beberapa lokasi di jajaran landasan utama kerap mengalami banjir, sekali gus menimbulkan risiko kepada operasi tren.”
Pelaksanaan projek itu juga dapat menampung kapasiti penggunaan lebih tinggi pada masa akan datang dengan lebih cekap dan efektif, manakala penambahbaikan sistem semboyan lebih moden dapat mengurangkan selang waktu perkhidmatan tren.