
Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran berkata penularan gejala itu juga boleh menyebabkan sistem penjagaan kesihatan awam dan bukan alternatif selamat untuk berhenti merokok.

“Kerajaan digesa untuk tidak mengutamakan keuntungan cukai jangka pendek mengatasi kesejahteraan rakyat.
“Sebaliknya utamakanlah masa depan generasi akan datang dengan melaksanakan larangan vape secara menyeluruh demi menjamin rakyat Malaysia yang lebih sihat dan bebas daripada ancaman bahaya vape,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, beberapa negeri antara Johor dan Terengganu mengambil langkah tidak memperbaharui lesen premis penjualan vape.
“Langkah drastik ini menunjukkan kesungguhan negeri-negeri berkenaan melindungi rakyatnya, terutamanya generasi muda, daripada bahaya vape.
“Namun, usaha sebegini perlu diperkukuhkan ke peringkat nasional supaya perlindungan kesihatan awam adalah menyeluruh dan tidak terhad mengikut sempadan negeri semata-mata,” kata Yuneswaran dari PKR.
Semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan aktiviti pengimportan, pengilangan, dan pengedaran cecair rokok elektronik dikawal Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) walaupun dibenarkan untuk didagangkan di pasaran tempatan.
KKM menjelaskan cecair rokok elektronik ditafsirkan sebagai ‘bahan merokok’ menurut Seksyen 2 Akta 852, iaitu apa-apa bahan atau apa-apa gabungan bahan yang digunakan untuk merokok termasuk nikotin, propylene glycol, glycerol dan triethylene glycol.