Agong dipersembah Laporan Ketua Audit Negara 2/2025

Agong dipersembah Laporan Ketua Audit Negara 2/2025

Wan Suraya Wan Mohd Radzi mempersembahkan laporan itu kepada Sultan Ibrahim sebelum dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Wan Suraya Wan Mohd Radzi
Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi mempersembahkan Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 kepada Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini. (Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)
PETALING JAYA:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima sembah menghadap Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi di Istana Negara, hari ini.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, sesi menghadap hampir sejam itu bagi mempersembahkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025, sebelum dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

LKAN 1/2025 dibentangkan di Dewan Rakyat 24 Feb lalu.

Laporan itu antara lain mendedahkan 40 syarikat subsidiari daripada lima agensi persekutuan mencatatkan kerugian berjumlah RM2.66 bilion dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah tertinggi pada 2023.

Laporan Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023 menyebut 21 syarikat subsidiari di bawah KWSP mencatatkan kerugian tertinggi berjumlah RM0.94 bilion, diikuti lima syarikat subsidiari di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) (RM0.72 bilion), empat syarikat subsidiari Lembaga Tabung Haji (RM0.69 bilion).

Dua syarikat subsidiari Felda pula merekodkan kerugian berjumlah RM0.17 bilion, manakala lapan syarikat di bawah Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mencatatkan kerugian RM0.14 bilion.

Dewan Rakyat pada 27 Feb lalu meluluskan usul LKAN 1/2025 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023 bagi meneliti semua isu melibatkan ketirisan, ketidakpatuhan peraturan dan syarat serta kelemahan perancangan daripada berulang pada masa depan.

 Azalina Othmad Said
Sultan Ibrahim dipersembahkan taklimat mengenai pencapaian serta agenda reformasi undang-undang oleh Azalina Othman Said. (Gambar Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

Facebook Istana Negara turut memaklumkan Sultan Ibrahim turut menerima menghadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

“Yang di-Pertuan Agong dipersembahkan taklimat mengenai pencapaian serta agenda reformasi undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.