
Kenyataan itu menyusul gesaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah supaya guru Melayu kembali menghidupkan peranan aktivisme bersejarah mereka yang menyumbang secara signifikan kepada perjuangan kemerdekaan, budaya dan politik.
Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, berkata walaupun tidak lagi berada di barisan depan secara formal seperti era terdahulu, guru tetap memainkan peranan penting menyuarakan kritikan terhadap kepimpinan negara, khasnya menerusi media sosial.
Ini kerana, katanya, landskap perjuangan sudah berubah, seiring perkembangan latar belakang kerjaya masyarakat Melayu yang lebih pelbagai dan materialistik.
“Dahulu masyarakat Melayu hanya mengharapkan guru untuk mengerakkan aktiviti dan kebangkitan nasionalisme dalam kalangan masyarakat. (Tetapi), ketika ini keadaan tidak mendesak untuk guru seluruh negara bangkit,” katanya kepada FMT.
Sabtu lalu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah dilaporkan menggesa guru Melayu kembali menghidupkan peranan aktivisme bersejarah mereka yang menyumbang secara signifikan kepada perjuangan kemerdekaan, budaya dan politik.
Ketua Biro Pendidikan Perikatan Nasional itu berkata, guru Melayu perlu menjadi pencetus idea, tempat rujukan masyarakat, intelektual awam, advokasi serta penggerak dan pemimpin masyarakat, termasuk dalam politik Melayu.
Fauzi berkata, guru pada dasarnya antara penggerak utama perubahan politik semasa, namun sumbangan mereka sering kali tidak disedari masyarakat.
“Perjuangan guru kini adalah memastikan sosio budaya Melayu dan timur terus kekal diamalkan serta anak bangsa terus diperkasa untuk pembinaan dan kemajuan negara.
“Tidak wajar guru dikesampingkan dalam setiap agenda negara, pandangan mereka harus diambil kira. Tidak mustahil 420,000 guru di seluruh negara akan bangkit bila mereka rasa wajar berbuat begitu.”