
Bekas pengarah Hospital Sungai Bakap di Pulau Pinang itu berkata, selama bertahun-tahun, ada banyak aduan kertas undi hanya sampai ke tangan doktor selepas keputusan pemilihan diumumkan.
Lingeshwaran berkata, beliau sendiri tidak menerima kertas undi beberapa kali dan secara purata, hanya 20% kertas undi dikembalikan kepada MMC.
Beliau mendakwa MMC tidak menambah baik proses pemilihan walaupun terdapat aduan dan menggesa Ketua Pengarah Kesihatan baru dilantik, Dr Mahathar Abdul Wahab memperkenalkan proses pemilihan dalam talian kerana jumlah doktor terbabit dalam pemilihan ramai.
“Pemindahan kerap doktor dalam sektor kerajaan antara faktor mereka tidak menerima kertas undi. Undi pos untuk organisasi kerajaan yang begitu penting menjadikan sistem itu lapuk serta dipersoalkan dalam dunia digital hari ini,” katanya kepada FMT.
Beliau menggesa MMC bawah kepimpinan baharu Mahathar memperkenalkan e-undi secepat mungkin.
“MMC mempunyai pangkalan data dan cara mempraktikkannya.”
MMC ialah pengawal selia perubatan kebangsaan yang diberikan kuasa mendaftar, melesenkan pengamal perubatan serta mengawal piawaian mereka.
Ia diketuai ketua pengarah kesihatan dan sembilan doktor dilantik dari universiti serta 17 ahli terpilih, iaitu 15 dari Semenanjung Malaysia dan masing-masing seorang dari Sabah serta Sarawak.
MMC mula menghantar kertas undi kepada doktor mulai 23 Mei lalu. Mereka diberikan masa sehingga 25 Julai ini untuk mengembalikan kertas undi itu.