
Perkara itu dikesan dalam siasatan terbaru membabitkan seorang tokoh ternama bergelar Tan Sri, dengan beberapa pelaburan turut dikenal pasti berkemungkinan menjurus kepada aktiviti haram.
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki juga memaklumkan SPRM sedang mengesan aset yang dipercayai diperoleh melalui penyelewengan dana sukuk, termasuk yang berada di luar negara.
“Setakat ini, 45 saksi sudah dirakam percakapan dan kita masih menunggu untuk merakam percakapan Tan Sri yang kini difahamkan sedang dirawat di sebuah hospital swasta,” katanya, lapor Berita Harian.
Terdahulu, akhbar itu melaporkan sepasukan penyiasat SPRM menemui sebuah bilik simpanan arak dalam serbuan ke atas kediaman mewah milik individu bergelar Tan Sri itu.
Serbuan itu sebahagian daripada siasatan terhadap kes tuntutan palsu dan salah guna dana bon pinjaman untuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.