Projek Esteel lewat kerana moratorium ke atas kelulusan lesen, jawab menteri

Projek Esteel lewat kerana moratorium ke atas kelulusan lesen, jawab menteri

Menteri Sabah Phoong Jin Zhe kata unjuran awal garis masa pengoperasian kilang berdasarkan andaian semua kelulusan dapat diperoleh tanpa sebarang kelewatan.

Phoong Jin Zhe
Menteri Sabah Phoong Jin Zhe kata pelaburan yang diberikan FML tertakluk kepada proses penilaian yang teliti dan menyeluruh oleh Mida. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kelewatan dalam sebuah projek keluli di Sabah bernilai RM31 bilion disebabkan oleh kekangan dalam mendapatkan kelulusan dan bekalan gas asli, menurut menteri negeri.

Menteri Pembangunan Perindustrian Phoong Jin Zhe menjelaskan unjuran awal garis masa pengoperasian kilang Esteel Enterprise Sabah adalah berdasarkan andaian semua kelulusan dapat diperoleh tanpa sebarang kelewatan.

Menurut unjuran yang diumumkan pada 30 Nov 2022 tersebut, pengoperasian kilang bagi fasa pertama dijangka bermula pada suku keempat 2025.

Bagaimanapun, projek itu mengalami ‘sedikit kekangan’, antaranya disebabkan oleh moratorium dua tahun ke atas kelulusan lesen pengilang (FML) bagi industri berkaitan keluli oleh kerajaan persekutuan.

Phoong berkata perkara itu disentuh oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam ucapannya ketika melancarkan projek itu pada 30 Mei lalu.

“Kelulusan khas hanya diperoleh pada 24 Jan 2025, yang seterusnya memberi implikasi terhadap jadual asal pelaksanaan projek dan menyebabkan penyelarasan semula perlu dilakukan,” menurut kenyataan.

Phoong berkata pembekalan gas asli bagi operasi kilang turut mengambil sedikit masa untuk dimuktamadkan, memandangkan proses itu memerlukan penilaian teknikal yang komprehensif serta rundingan melibatkan pelbagai agensi berkepentingan.

Beliau menjawab soalan Adun Elopura, Calvin Chong dari Warisan, yang menggesa kerajaan negeri menjelaskan kelewatan dalam pelaburan Esteel.

Chong berkata perjanjian pajakan tanah antara Sogip dan Esteel, yang ditandatangani pada Nov 2022, menyatakan fasa pertama projek itu akan bermula pada suku keempat 2023 dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, Phoong berkata setiap pelaburan yang diluluskan dan diberikan FML tertakluk kepada proses penilaian yang teliti dan menyeluruh oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Katanya, proses itu merangkumi pelbagai aspek termasuk penilaian keupayaan teknikal, dan salah satu komponen dalam penilaian itu adalah kemampuan kewangan syarikat pelabur.

Fasa pertama pelaburan Esteel, dianggarkan bernilai kira-kira RM6.4 bilion, dirasmikan oleh Anwar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 30 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.