PKR belum bincang jawatan ‘timbalan presiden lantikan’, kata ketua Pemuda

PKR belum bincang jawatan ‘timbalan presiden lantikan’, kata ketua Pemuda

Kamil Munim berkata jawatan timbalan presiden lantikan belum pernah dibincangkan setakat ini.

Ketua Pemuda PKR, Kamil Abdul Munim, kata parti belum bincang jawatan ‘timbalan presiden lantikan’ yang diperkatakan Rafizi Ramli.
PETALING JAYA:
PKR belum berbincang untuk mewujudkan jawatan ‘timbalan presiden lantikan’, kata Ketua Pemuda Kamil Abdul Munim.

Kamil berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan Ahli Parlimen Rafizi Ramli semalam, bahawa Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar pernah mencadangkan jawatan tersebut diwujudkan.

“Setakat pengetahuan belum pernah dibincangkan tentang jawatan itu setakat ini. Tidak ada,” katanya kepada FMT.

Beliau akui Rafizi mempunyai kelebihan sendiri dan yakin Ahli Parlimen Pandan itu akan terus memainkan peranan untuk memperkukuhkan sokongan kepada PKR.

“Beliau punya kekuatan dan kelebihan tersendiri dan akan terus memainkan peranannya untuk mengukuhkan sokongan,” katanya.

Semalam, Rafizi mendedahkan bahawa Nurul Izzah pernah mencadangkan agar diwujudkan jawatan timbalan presiden dilantik, untuk ditawarkan kepadanya.

Rafizi berkata beliau bagaimanapun menolak cadangan itu kerana sejak awal beliau jelaskan tidak akan terima sebarang jawatan dalam PKR.

Pada pemilihan pusat PKR bulan lepas, Rafizi yang memperoleh 3,866 undi kalah kepada Nurul Izzah yang mendapat 9,803 undi dalam perebutan jawatan timbalan presiden.

Susulan kekalahan itu, Rafizi umum meletak jawatan sebagai menteri ekonomi, dengan surat perletakan jawatan berkuat kuasa 17 Jun sudah diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, ahli majlis pimpinan pusat PKR, Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah, berpandangan keputusan Rafizi menolak apa jua tawaran jawatan mesti dihormati.

“Perjuangan parti ini tidak bergantung kepada mana-mana individu atau kumpulan-kumpulan tertentu,” katanya kepada FMT, menekankan pemilihan parti merupakan proses demokrasi untuk memilih pimpinan.

Katanya, PKR harus menempuh cabaran daripada perubahan pimpinan itu dengan mencipta keseimbangan di antara kepelbagaian latar belakang pemimpin, termasuk beri peluang kepada bakat-bakat baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.