
Ketua Polis Perlis, Muhammad Abdul Halim, berkata pihaknya menyerbu sebuah rumah di Kampung Belat Batu, Beseri, Kangar kira-kira 3.30 pagi semalam.
“Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang memandu Proton Waja di sekitar kawasan kampung. Penahanan suspek membawa kepada penemuan Toyota Vios diletakkan berhampiran kediaman suspek.
“Pemeriksaan lanjut dalam kereta itu menemui 17 guni berjahit 365kg dadah dipercayai syabu dianggarkan bernilai RM13.14 juta,” katanya menurut Berita Harian dalam sidang media di IPK Perlis, Kangar.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek pernah terbabit kegiatan pemerdagangan manusia menggunakan “laluan tikus” di sekitar kawasan hutan Padang Besar untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin.
Kali ini, menurutnya, suspek dipercayai menggunakan laluan sama untuk membawa masuk bekalan syabu dari negara jiran yang boleh digunakan 3.6 juta penagih.
Katanya, pemandu jentera itu memiliki lima rekod jenayah membabitkan jenayah ragut, penyalahgunaan dadah dan pemerdagangan manusia.
Beliau berkata, suspek direman hingga 7 Jun ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.