Cecair rokok elektronik dikawal ketat walaupun dibenarkan untuk dagang

Cecair rokok elektronik dikawal ketat walaupun dibenarkan untuk dagang

KKM rujuk laporan sebuah syarikat dapat lesen pengilang bagi mengeluarkan peranti rokok elektronik dengan cecair atau gel yang mengandungi campuran nikotin, secara interim.

vape
KKM kata aktiviti pengimportan, pengilangan, dan pengedaran cecair rokok elektronik dikawal Akta 852. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aktiviti pengimportan, pengilangan, dan pengedaran cecair rokok elektronik dikawal Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) walaupun dibenarkan untuk didagangkan di pasaran tempatan, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM menjelaskan cecair rokok elektronik ditafsirkan sebagai ‘bahan merokok’ menurut Seksyen 2 Akta 852, iaitu apa-apa bahan atau apa-apa gabungan bahan yang digunakan untuk merokok termasuk nikotin, propylene glycol, glycerol dan triethylene glycol.

“Oleh yang demikian, bahan merokok ini merupakan produk merokok yang dibenarkan untuk didagangkan di pasaran tempatan namun dikawal ketat di bawah Akta 852 bersama peraturan dan perintah di bawahnya,” menurut kenyataan.

Penjelasan ini merujuk kepada laporan berkaitan sebuah syarikat yang mendapat lesen pengilang bagi mengeluarkan peranti rokok elektronik dengan cecair atau gel yang mengandungi campuran nikotin, secara interim.

Badan pemikir kesihatan, CodeBlue, melaporkan lesen Ispire Technology Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat, yang mengendalikan kemudahan di Senai, Johor, diluluskan bulan ini oleh pihak berkuasa persekutuan dan Johor.

Syarikat itu mendakwa ia satu-satunya yang dibenarkan untuk mengeluarkan, mengimport dan mengeksport produk nikotin di Malaysia, dan berkata ia boleh memulakan operasi dengan serta-merta.

KKM menjelaskan pengeluaran lesen pengilang adalah di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia berdasarkan Akta Penyelarasan Perindustrian, dan pihak berkuasa tempatan melalui penguatkuasaan undang-undang kecil berkait aktiviti pelesenan.

Produk merokok juga dikawal oleh kastam melalui kawalan pengimportan termasuk bahan mentah dan barangan siap; dan pengujian piawaian keselamatan peranti oleh Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia.

“Sebarang keputusan berkaitan aktiviti pengimportan, pengilangan, dan pengedaran cecair rokok elektronik merupakan keputusan kolektif oleh semua agensi-agensi kerajaan seperti di atas,” katanya.

Katanya lagi, Akta 852 memperuntukkan kuasa kepada KKM untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kandungan dan emisi semua jenis produk merokok.

“KKM komited untuk memastikan penguatkuasaan dan kawalan di tahap maksimum bagi memastikan perlindungan kesihatan dan keselamatan masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.