
Pengarah Zon Maritim Mersing, Suhaizan Saadin, berkata mangsa yang meninggal dunia ialah Nur Awatif Udaima Mohd Hisam dan adiknya Ahmad Uwais Al Qarni.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor untuk mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada 4.25 petang, sebelum bot Perkasa 44 diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa pertama Nur Awatif Udaima ditemukan di lokasi mangsa lemas oleh komuniti berdekatan pada 4.30 petang.
“Bot Perkasa 44 serta komuniti pulau kemudian meluaskan sektor pencarian dan menemukan Ahmad Uwais Al Qarni, hasil pencarian menyelam oleh komuniti pulau pada 6.30 petang,” katanya dalam kenyataan.
Suhaizan berkata, difahamkan keluarga mangsa pulang bercuti di kampung mereka di Pulau Tinggi dan jarak dari Pantai Mentigi ke Kuala Mersing kira-kira 19.17 batu nautika.
Katanya, susulan itu kedua-dua mangsa diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) untuk dibawa pulang ke Jeti Shahbandar bagi tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Mersing, Abdul Razak Abdullah Sani, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan mayat mangsa dihantar ke Hospital Mersing untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).