Wanita mengaku tak salah dera anak saudara

Wanita mengaku tak salah dera anak saudara

Pengusaha kedai makan itu didakwa mengabaikan anak saudaranya berusia 15 tahun hingga remaja itu mengalami kecederaan fizikal.

Tertuduh, wanita berusia 52 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Chukai hari ini atas tuduhan mendera anak saudaranya. (Gambar Bernama)
CHUKAI:
Seorang pengusaha kedai makan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mendera anak perempuan kepada sepupunya di Binjai, di sini.

Tertuduh, seorang wanita berusia 52 tahun bagaimana pun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Wanita yang mempunyai hubungan pemeliharaan kepada remaja perempuan berusia 15 tahun itu didakwa telah mengabaikan sehingga menyebabkan remaja itu mengalami kecederaan fizikal.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 5.30 petang di sebuah kedai makan di Binjai dekat sini antara Mac hingga 22 Mei lepas.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang membawa hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.