Lelaki maut, 5 rumah musnah dalam 2 kebakaran di Bintulu

Lelaki maut, 5 rumah musnah dalam 2 kebakaran di Bintulu

Dua kejadian itu berlaku di Jalan Sibiew awal pagi tadi dan Jalan Abang Usop, malam semalam.

Keadaan api yang marak memusnahkan lima rumah teres dalam kejadian di Kidurong MLNG Housing, Jalan Abang Usop. (Gambar JBPM Bintulu)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut manakala lima rumah teres musnah sepenuhnya dalam dua kebakaran berasingan di Bintulu.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan, kira-kira 2.32 pagi tadi, seorang lelaki berusia 50an dipercayai terperangkap dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Jalan Sibiew.

“Mangsa dikenali sebagai Wong Jun Din berjaya dikeluarkan selepas itu bagaimanapun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri selain melecur pada badan.

“Dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan di lokasi,” katanya, menurut Bernama.

Tiga penghuni lain dilaporkan selamat.

Manakala dalam kejadian malam tadi, lima rumah teres setingkat jenis struktur kekal musnah 100% dalam kebakaran di Kidurong MLNG Housing, Jalan Abang Usop.

Pihak bomba memaklumkan ia menerima panggilan kecemasan pada 11.43 malam sebelum menghantar 18 anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong dan BBP Bintulu ke lokasi.

“Api berjaya dipadam sepenuhnya pada 6.25 pagi tadi.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian daripada kedua-dua kejadian itu masih dalam siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.